comscore
Tumpuan :
Nasional

[VIDEO] Kerajaan komited pastikan pekebun kecil sawit tidak tercicir

Oleh: Kadir Edison

MIRI: Kerajaan terus komited dalam memastikan pekebun kecil atau mereka yang terlibat secara kecil-kecilan dalam industri sawit tidak terkeluar daripada rantaian bekalan sawit.

Ia susulan pengenalan pelbagai peraturan baharu dalam industri terbabit oleh negara luar.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof berkata, Malaysia sentiasa berpendirian bahawa setiap peraturan yang diinginkan dilaksanakan oleh Kesatuan Eropah (EU) haruslah melibatkan perundingan bersama kerajaan.

“Itulah perjuangan kita di peringkat kerajaan dan setakat apa yang kita bincangkan mereka sudahpun mendengarnya dan mereka akan datang ke Malaysia untuk memperincikan segala perbincangan terbabit.

“Justeru kita berharap Skim Pensijilan Minyak Sawit Mampan Malaysia (MSPO) akan diterima pakai dalam proses usaha wajar minyak sawit itu nanti,” katanya dalam ucapan ketika merasmikan Majlis Penutupan Program Konsultasi FGV bersama pekebun kecil dan pembekal di Miri hari ini.

Beliau turut menekankan kepentingan untuk pekebun kecil menjaga kelestarian alam sekitar, bukan sahaja bagi memenuhi kehendak pasaran dunia.

Menurutnya amalan mematuhi standard MSPO atau Meja Bulat Minyak Sawit Mampan (RSPO) juga adalah untuk memastikan alam sekitar terjaga untuk diwarisi generasi akan datang.

Sementara itu, Fadillah berkata kerajaan memahami cabaran yang dihadapi oleh pekebun kecil sawit khususnya berkaitan harga yang ditentukan oleh permintaan di peringkat global.

Beliau berkata setiap pekebun kecil harus bersiap siaga dengan ketidaktentuan ekonomi di peringkat global yang hanya akan berkembang pada kadar tiga peratus sehingga 2028, manakala ekonomi Malaysia akan berkembang pada kadar empat hingga lima peratus, sekali gus memberi kesan kepada eksport negara.

Katanya walaupun secara umumnya permintaan minyak sawit akan tetap stabil, harganya mungkin tidak menentu.

Sehubungan itu, Fadillah berkata pekebun kecil sawit tidak boleh bergantung kepada komoditi itu semata-mata, sebaliknya menjalankan pertanian bersepadu untuk menghasilkan pendapatan yang konsisten.

Loading...
Terkini