Oleh: Zulfakhri Shamsul Ariffin
KUALA LUMPUR: Kerajaan melaksanakan 52 inisiatif jangka pendek, sederhana dan panjang dalam mengatasi kesesakan lalu lintas yang berlaku di Tambak Johor.
Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, inisiatif itu merangkumi aspek naik taraf infrastruktur dan kemudahan di bangunan Sultan Iskandar dan kompleks Sultan Abu Bakar.
Selain itu katanya, ia termasuk Pengurusan Sumber Manusia, naik taraf ‘Automated Check Point and Border System’, melaksanakan kajian kebolehlaksanaan, Pengurusan Pelan Komunikasi serta pengurusan dan penyelenggaraan infrastruktur dan kemudahan.
“Ada 52 inisiatif jangka pendek, jangka sederhana dan jangka panjang yang telah pun di laksanakan, yang sedang dan yang akan dilaksanakan.
“52 inisiatif ini hasil daripada keputusan Mesyuarat Jawatankuasa Khas Mengenai Kesesakan Tambak Johor yang dipengerusikan oleh Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Ahli Parlimen Segamat, R. Yuneswaran di Dewan Rakyat hari ini.
Beliau berkata, kerajaan juga sedang memuktamadkan perolehan penggunaan kod QR bagi dua mod pengangkutan iaitu untuk penumpang bas dan penunggang motosikal.
Untuk tujuan itu, kerajaan telah memperuntukkan bajet sebanyak RM20 juta dan akan memuktamadkan pelantikan vendor bagi melaksanakan inisiatif berkenaan.
“Bagi 2 mod pengangkutan yang kita buat ‘Proof of Concept’ sebelum ini iaitu penumpang bas dan juga penunggang motosikal menggunakan kod QR, tak perlu lagi stem pasport.
“Ianya berlangsung antara 1 Jun hingga 30 November ini. Jadi pada tahun kewangan ini juga kita akan muktamadkan pelantikan vendor untuk maksud perolehan,” katanya.
Tambahnya, penggunaan Kod QR itu juga akan diperluaskan kepada semua jenis pengangkutan mengikut fasa.
Untuk rekod, bagi tempoh 1 Januari sehingga 31 Oktober lalu, sebanyak 83.4 juta pengguna melalui bangunan Sultan Iskandar dan 34.5 juta pengguna melalui kompleks Sultan Abu Bakar adalah 34.5 juta.
Laluan darat paling sibuk itu mencatatkan purata 400,000 pengguna setiap hari dan menunjukkan trend peningkatan 17% saban tahun.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.