Oleh: Siti Khadijah Jaafar
KUALA LUMPUR : Tiga pendekatan akan dilaksanakan kerajaan bagi memantau isu harga ayam susulan penamatan subsidi dan kawalan harga yang berkuatkuasa semalam.
Pemangku Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Datuk Armizan Mohd Ali berkata, ia juga sebagai langkah bagi memastikan ayam dijual pada kadar harga berpatutan di bawah paras RM9.40 seperti ditetapkan.
Pendekatan pertama ialah dengan meneruskan pemantauan dan penguatkuasaan khususnya menggunapakai Akta Kawalan Harga dan Anti Pencatutan serta Akta Persaingan 2010 sekiranya wujud elemen pakatan dalam harga ayam.
“Pendekatan kedua pula adalah kita juga akan melaksanakan penyelesaian mitigasi bersasar mengikut kawasan atau ‘area targeted solution’ kerana terdapat isu berkaitan harga ayam di kawasan tertentu.
Manakala yang ketiga kita akan memperluaskan program intervensi di kawasan-kawasan yang mempunyai isu harga jualan ayam khususnya di Sabah, Sarawak, Wilayah Persekutuan Labuan dan kawasan sekitar Semenanjung yang mempunyai isu penawaran harga tertinggi melebihi RM9.40 yang ditetapkan”, katanya.
Bagi program Intervensi, Perdana Menteri telah mengarahkan lebih banyak Jualan Rahmah dan Jualan Agro Madani dilaksanakan bagi memastikan rakyat mendapat bekalan ayam pada harga berpatutan.
KPDN juga akan bekerjasama dengan Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan untuk mengenal pasti punca sekiranya terdapat peniaga ayam yang mengenakan harga tinggi termasuk kekurangan bekalan, faktor logistik dan lain-lain.
“Pegawai penguatkuasa kita juga akan turun padang bertanya apa masalah, isu, berapa kos dan margin keuntungan. Jika kita lihat harga terlalu tinggi kita mungkin boleh menasihati dan mengambil tindakan undang-undang berdasarkan peruntukan sedia ada” ,katanya.
Berdasarkan pemeriksaan semalam, hampir 90 peratus kawasan yang dipantau menjual bahan mentah itu di bawah harga RM 9.40 sekilogram.
Beliau berkata demikian dalam sidang media sempena majlis pelancaran Kad Diskaun Khas Menu Rahmah di ibu negara tengahari tadi.