comscore
Tumpuan :
Nasional

Kerajaan laksana usaha tingkat kecekapan operasi, hasil kelapa sawit

Menteri Perladangan dan Komoditi, Datuk Seri Johari Abdul Ghani – FOTO: NSTP

KUALA LUMPUR: Kerajaan giat melaksanakan usaha meningkatkan kecekapan operasi dan hasil bagi membantu memperkasakan pekebun kecil kelapa sawit di seluruh negara.

Menteri Perladangan dan Komoditi, Datuk Seri Johari Abdul Ghani berkata, antara usaha kerajaan untuk memperkasa pekebun kecil di seluruh negara termasuk Sabah dan Sarawak adalah dengan membantu pekebun kecil meningkatkan kecekapan operasi dan hasil tanaman mereka.

“Peningkatan hasil dapat dicapai dengan penerapan amalan pertanian baik serta menjalankan penanaman semula mengikut jadual.

“Sepanjang Januari hingga September lalu, kadar penanaman semula di Sabah adalah 1.7 peratus lebih tinggi daripada Semenanjung iaitu 1.6 peratus manakala Sarawak (1.4 peratus).

“Selain itu, usaha lain adalah memastikan mereka mendapat bekalan benih dan baja berkualiti, tenaga buruh mencukupi serta mekanisasi operasi ladang,” katanya dalam jawapan bertulis yang disiarkan laman web Parlimen.

Beliau menjawab pertanyaan Datuk Seri Bung Moktar Radin (BN-Kinabatangan) mengenai inisiatif kementerian membantu pekebun kecil kelapa sawit di Kinabatangan menghadapi cabaran turun naik harga dan mempromosikan amalan pertanian lestari serta kepelbagaian tanaman.

Mengulas lanjut, Johari berkata, kerajaan juga menanggung sepenuhnya kos pensijilan Malaysian Sustainable Palm Oil (MSPO) bagi pekebun kecil persendirian dan memberikan subsidi bagi pekebun kecil tersusun.

Katanya, skim pensijilan MSPO penting bagi pekebun kecil bagi memastikan minyak sawit mentah (CPO) yang dikeluarkan kumpulan ini dapat terus dieksport.

“Dengan langkah ini, produk sawit Malaysia akan dikenali sebagai produk bermutu tinggi dan mesra alam dan seterusnya dapat dijual dengan kadar premium lebih tinggi.

“Kementerian yakin jika kita dapat memastikan operasi sepanjang rantaian bekalan berada pada tahap efisien pada kos berdaya saing, kesemua pemegang taruh termasuk pekebun kecil akan mendapat manfaat,” katanya.

Justeru, katanya, kenaikan dan penurunan harga minyak sawit mentah (CPO) di luar bidang kuasa mana-mana pihak kerana ia bergantung sepenuhnya kepada kadar pengeluaran dan permintaan dunia.

“Ia dipengaruhi faktor seperti krisis geopolitikal, tahap daya saing dengan minyak sayuran yang lain, keadaan cuaca dan iklim, dasar kerajaan, agenda keselamatan makanan dan banyak lagi,” katanya.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini