comscore
Tumpuan :
Nasional

Kerajaan lulus RM4 bilion untuk pengurusan air di Perak, jual air terawat ke Pulau Pinang

BAGAN SERAI: Kerajaan meluluskan peruntukan RM4 bilion untuk pengurusan air negeri Perak bagi projek pembangunan baharu berimpak tinggi dan penyelesaian masalah air di negeri berkenaan serta selatan Pulau Pinang.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata sebahagian besar peruntukan itu akan ditumpukan pada projek Taman Perindustrian Bersepadu Hijau Kerian (KIGIP) yang bakal menyalurkan bekalan air di daerah utara Perak serta penjualan air terawat kepada Pulau Pinang.

Ujarnya, projek-projek yang dibangunkan kelak dengan peruntukan itu mampu menangani masalah banjir yang berlarutan serta memenuhi keperluan bekalan air di kawasan terbabit.

“Maka ia dapat dipenuhi dengan pengurusan air dan beberapa projek tebatan sekali gus gunakan jalur Bukit Merah ke Kerian untuk memenuhi keperluan KIGIP.

“Seterusnya dari Kerian bekalan air terus ke Seberang Perai. Jadi ia berita baik untuk Pulau Pinang.

“Dana yang diperlukan untuk pengurusan air ini sahaja mencecah hampir RM4 bilion. Kerajaan bersetuju secara dasarnya, walaupun bukan pada tahun ini kerana baru (dalam fasa) permulaan awal.

“Kita akan sediakan kerana projek ini kita akan jadikan projek keutamaan untuk kepentingan rakyat Perak, khususnya utara Perak dan Seberang Perai Selatan di Pulau Pinang,” katanya dalam Majlis Peluncuran Pelan Induk KIGIP, di sini, hari ini.

Turut hadir, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof; Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Datuk Seri Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz; Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad dan Ketua Menteri Pulau Pinang, Chow Kon Yeow.

Tambah Datuk Seri Anwar, kajian yang dilakukan mendapati jika diurus bekalan air dengan cekap, ia bukan sahaja mencukupi tetapi melebihi keperluan semasa.

Namun, katanya proses pelaksanaan perlu dilakukan dengan lebih teliti dengan kerjasama penuh kerajaan negeri Perak.

Jelas beliau, Loji Rawatan Air di KIGIP juga akan menyalurkan bekalan air terawat ke Pulau Pinang selari dengan persetujuan awal mengikut
Projek Air Perak – Pulau Pinang.

Selain itu, Datuk Seri Anwar juga yakin KIGIP akan membawa masuk pelaburan yang tinggi sekali gus mewujudkan peluang pekerjaan serta merangsang ekonomi tempatan.

“Percayalah, KIGIP antara projek yang sangat penting untuk negara kita.

“Dengan industri canggih, teknologi tinggi, kemajuan digital, bidang kecerdasan pintar dan peralihan tenaga, projek di Kerian ini boleh catat sejarah.

“Jadi saya harap Kerajaan Pusat dan Kerajaan Negeri dapat kerjasama dengan erat untuk merealisasikan kejayaaan projek ini,” katanya.

Beliau juga memaklumkan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof yang juga Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air ditugaskan untuk menyelia keperluan utiliti projek berkenaan dan menyegerakan kelulusan yang diperlukan.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa

Loading...
Terkini