Oleh: Wan Zairul Azri Wan Mohammad Sudin
PUTRAJAYA: Kerajaan belum membuat sebarang keputusan untuk menghentikan subsidi pendidikan kepada anak golongan kaya.
Jurucakap Kerajaan Perpaduan, Fahmi Fadzil berkata, perkara itu masih di peringkat perbincangan dengan meneliti beberapa perkara prinsip yang perlu diambil kira.
“Kita belum putuskan (untuk menghentikan subsidi pendidikan kepada anak golongan kaya), ia masih di peringkat penelitian.
“(Ingin tegaskan) pada waktu ini belum diputuskan (untuk hentikan subsidi pendidikan kepada anak golongan kaya), masih di peringkat perbincangan, ada beberapa perkara yang menjadi prinsip secara umumnya,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang media mingguan pasca Mesyuarat Jemaah Menteri, di sini hari ini.
Menurut Fahmi yang juga Menteri Komunikasi, kaedah penyasaran semula subsidi pendidikan tidak boleh disamakan seperti mana pelaksanaan penyasaran semula subsidi elektrik.
“Kalau pada isu (penyasaran) subsidi elektrik sebagai contoh, kita beri penekanan bahawa 85 peratus daripada pengguna di Semenanjung tidak akan terkesan dengan sebarang kenaikan, maka kita boleh ambil itu sebagai satu prinsip.
“Cuma dalam beberapa perkara seperti pendidikan, ia tidak berdasarkan seperti dalam kes bil elektrik, ia adalah bersandarkan kepada tahap penggunaan, tetapi dalam isu pendidikan, mungkin kita akan teliti beberapa perkara yang lain,” katanya.
Sebelum ini, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim memberi bayangan bahawa kerajaan akan menilai semula peruntukan subsidi dalam sektor pendidikan yang selama ini dinikmati golongan mahakaya.
Anwar menegaskan, perkara itu antara yang diberi keutamaan dalam pembentangan Belanjawan 2025 pada 18 Oktober depan agar pemberian subsidi itu hanya diberikan kepada golongan miskin dan benar-benar layak.
Mengulas isu itu, Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Zambry Abd Kadir pula dilapor berkata, kerajaan kekal dengan pendirian memastikan akses pendidikan dinikmati semua golongan walaupun terdapat cadangan menghentikan subsidi tersebut.
Ujar beliau, dasar terbabit terus diberi keutamaan kepada semua golongan bermula daripada pendidikan di peringkat rendah hingga ke institusi pengajian tinggi.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.