Oleh: Juliana Sharin
CYBERJAYA: Kerajaan akan memudah cara industri untuk membawa masuk pelaburan dan menyokong penggunaan teknologi melalui automasi, kecerdasan buatan dan pembelajaran mesin bagi meningkatkan produktiviti.
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, seiring yang digariskan dalam Kerangka Ekonomi MADANI, kerajaan juga akan terus menyokong usaha penyelidikan, pembangunan dan pengkomersialan (R&D&C) syarikat-syarikat tempatan dan syarikat pemula untuk mendorong mereka mencapai kejayaan lebih besar dan meraih pengiktirafan antarabangsa.
Ucapan Perdana Menteri itu dibacakan Menteri Sains dan Teknologi Chang Lih Kang pada majlis penutup InnoEx 2023 sempena Minggu Inovasi Cyberjaya di RekaScape, Cyberjaya.

Menurut beliau lagi, pada masa yang sama, kerajaan juga akan menyokong bakat-bakat tempatan iaitu inovator tempatan yang ingin mengembangkan perniagaan mereka di rantau ASEAN atau lebih jauh lagi.
“Sudah tiba masanya kita julang dan bimbing inovator tempatan menempa nama di pasaran serantau dan merebut segala peluang yang ada di luar sana,” katanya
Tambahnya lagi, kerajaan juga mahu mengangkat semula darjat dan martabat Malaysia, untuk menjadi sebuah negara yang inovatif, maju dan lestari dengan masyarakat yang cakna dan bersedia mendepani cabaran masa hadapan.
“Dalam era digital dan teknologi yang semakin pesat, kita tidak boleh ketinggalan dan perlu giat mempromosikan inovasi dan teknologi tempatan supaya dapat berdaya saing dengan negara-negara serantau dan di pentas dunia,” jelasnya.
Dimaklumkan Malaysia menduduki tangga ke-36 daripada 132 negara dalam Indeks Inovasi Global pada tahun 2022.
Maka pihaknya mahu aktiviti inovasi dijadikan keutamaan dalam meningkatkan pertumbuhan ekonomi negara dan kita perlu mengambil pengajaran daripada negara-negara lain.
“Malah, di Sidang Kemuncak ASEAN-India di Jakarta baru-baru ini, Datuk Seri Anwar telah mencadangkan supaya kejayaan luar biasa India terutamanya dalam perbankan digital dan kewangan mereka di kawasan luar bandar dapat dikongsikan untuk manfaat semua negara anggota ASEAN,” katanya.
Mengambil teladan daripada negara lain, negara ujar beliau mesti membangunkan dan memasarkan penyelesaian inovatif tempatan, membimbing bakat-bakat tempatan dan seterusnya menumpukan penyelesaian inovatif yang lestari.
“Pihak pemain industri juga mesti berusaha mencari penyelesaian inovatif yang boleh menurunkan kos, menjadi lebih cekap, dan seterusnya memberi manfaat kepada masyarakat,” menurutnya lagi.
Bagi Industri pusat data pula beliau berkata, perlu mempunyai keupayaan untuk beralih kepada tenaga hijau, kerana ia penting untuk menggalakkan lebih banyak pihak mengambil inisiatif yang lestari dan seterusnya meneutralkan pelepasan karbon.