Tumpuan :
Nasional

Kerajaan negeri akan bantu mangsa kebakaran di Baling

Muhammad Sanusi menyerahkan hadiah kepada Johan Pertandingan Kampung Sejahtera Negeri Kedah iaitu Kampung Teroi Bukit, Yan di Dewan Tuanku Haminah, Universiti Islam Antarabangsa Sultan Abdul Halim Mu’adzam Shah (UniSHAMS), Baling, hari ini. – FOTO: NSTP

BALING: Kerajaan negeri sedia mempertimbang bantuan termasuk pembinaan rumah baharu kepada mangsa kebakaran di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Kupang, di sini, yang dipercayai akibat khianat.

Menteri Besar, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor, berkata kebakaran yang berlaku bermula 24 Disember lalu hingga 12 Januari lalu, dilaporkan membabitkan sembilan rumah penduduk dengan kerugian mencecah RM791,000.

Katanya, kebanyakan kebakaran bermula pada motosikal yang diletak di hadapan rumah sebelum api merebak sehingga menyebabkan kereta dan rumah turut terbakar.

“Kejadian ini dipercayai berpunca akibat perbuatan khianat dan berlaku antara jam 9 malam hingga 4 pagi, ada rumah yang musnah semuanya. Pejabat Daerah Baling telah membuat permohonan kepada kerajaan negeri untuk mendapatkan sumbangan kepada mangsa kebakaran ini.

“Tidak lama lagi Ramadan akan tiba dan selepas itu Syawal, jadi mereka perlukan tempat kediaman. Saya akan pertimbang bersama EXCO perkara ini dalam mesyuarat akan datang untuk kita bantu khususnya rumah yang musnah terbakar,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas Majlis Penyampaian Anugerah Pertandingan Kampung Sejahtera Negeri Kedah di Dewan Tuanku Haminah, Universiti Islam Antarabangsa Sultan Abdul Halim Mu’adzam Shah (UniSHAMS) di sini, hari ini.

Muhammad Sanusi berkata, mangsa kebakaran kini kehilangan tempat tinggal, malah ada yang tinggal sehelai sepinggang dan terpaksa menumpang di rumah saudara mara.

Beliau berkata, Pejabat Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kupang sudah mengaktifkan pos kawalan di kawasan kampung untuk membantu pihak berkuasa mengekang perbuatan khianat itu.

Media sebelum ini melaporkan, polis mengesahkan kebakaran yang membabitkan 10 rumah di daerah ini pada 24 Disember lalu disyaki mempunyai unsur khianat.

Ketua Polis Daerah Baling, Superintendan Azmi Mokhtar berkata, pada awalnya siasatan mendapati ia hanya kebakaran biasa namun hasil siasatan bersama pihak Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kedah mendapati, ia mempunyai unsur khianat.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

| ARTIKEL BERKAITAN

Loading...
Terkini