comscore
Tumpuan :
Nasional

Kerajaan negeri, PBT perlu ambil tanggungjawab bersama dalam pengurusan bencana

Foto: NSTP

PUCHONG: Kerajaan negeri dan pihak berkuasa tempatan (PBT) perlu mengambil tanggungjawab bersama dalam soal pengurusan bencana negara.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berkata, mereka tidak seharusnya meletakkan sepenuhnya tanggungjawab berkaitan pengurusan bencana dibahu kerajaan Pusat semata-mata.

Mengambil contoh agihan bantuan wang ehsan kepada mangsa banjir, beliau menjelaskan, ada beberapa negeri dan PBT lewat dalam memberikan maklum balas bagi memenuhi keperluan operasi yang telah ditetapkan.

“Soal kerjasama dengan kerajaan negeri, selama ini ada kalangan kerajaan negeri menganggap soal banjir dan bencana ini adalah tanggungjawab kerajaan Pusat.

“Kerjasama harus terjalin antara Pusat, negeri dan PBT. Ini bukan dalam soal (pelaksanaan projek) tebatan banjir saja, tapi pengurusan bencana. Kita kena ketepikan politik yang berbeza.

“Kami di Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) pusat, kita buta warna (terhadap sokongan politik kepartian), tapi adalah lebih baik jika negeri dapat berikan maklum balas dan tanggungjawab segera terhadap segala operasi yang kita lakukan,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas Majlis Amanat Timbalan Perdana Menteri bersama NADMA di Markas SMART hari ini.

Mengulas lanjut, beliau berkata, sama juga dalam soal pengurusan bencana selepas banjir di mana usaha itu seharusnya digerakkan semua agensi baik dari negeri dan PBT terutama bagi kerja-kerja pasca banjir.

“Ini hal bantuan, permasalahan berlaku selepas bencana. Dalam soal ini, membantu ketika sedang berlaku bencana ada, tapi tak ramai bantu selepas pasca bencana.

“Untuk itu, perlu gerak atur terus dilakukan antara bomba, ATM (Angkatan Tentera Malaysia) dan beberapa agensi negeri dan daerah. Kita juga memobilisasikan khidmat NGO (badan bukan kerajaan) yang gerakkan sukarelawan mereka untuk bantu mangsa selepas banjir,” katanya.

Dalam pada itu, permasalahan lain yang wujud, kata beliau apabila ramai mangsa banjir yang tidak berpindah atau berdaftar dengan pusat pemindahan sementara (PPS) turut memohon bantuan wang ihsan banjir.

“Bantuan wang ihsan NADMA melalui Pusat Kawalan Operasi Bencana (PKOB) daerah, lazimnya nama disenarai mengikut mereka yang dipindah ke PPS, tetapi kerap kali bayaran dibuat kepada mereka yang tidak pindah pun. Ramai yang bising, datangnya pun daripada kumpulan ini.

“Saya juga terima maklumat peruntukan itu datangnya dari Kerajaan Persekutuan, tapi ada keadaan di mana bantuan itu hanya diberikan mengikut warna (penyokong parti politik) tertentu saja dan ini harus dihentikan,” tambahnya.

Loading...
Terkini