comscore
Tumpuan :
Nasional

[VIDEO] Kerajaan negeri siasat video tular konsert di IPTA

KUALA TERENGGANU: Kerajaan negeri akan menjalankan siasatan berhubung sebuah video konsert yang tular di sebuah Institusi Pengajian Tinggi Awam (IPTA) di Terengganu, baru-baru ini.

Pengerusi Jawatankuasa Pelaksanaan Syariah, Pendidikan dan Pengajian Tinggi Negeri, Datuk Satiful Bahri Mamat berkata, ketika ini, pihaknya masih belum mendapat sebarang maklumat mengenai perkara itu.

Menurutnya, perkara seumpama itu tidak sepatutnya berlaku di dalam sebuah universiti kerana Terengganu mempunyai garis panduan persembahan hiburan yang dibenarkan.

“Ini bukan perkara baharu kerana garis panduan itu telah lama diagihkan kepada semua jabatan-jabatan, jadi tidak sepatutnya ia berlaku di universiti tersebut.

“Saya akan dapatkan maklumat sebenar terlebih dahulu (sebelum apa-apa keputusan)…lagi pun ini dibawah jawatankuasa yang sama dan saya sendiri selaku pengerusi dan Exco Pendidikan dan Pengajian Tinggi,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas menghadiri program Kick-off Bsas Aeoronautics pesawat tanpa pemandu (UAV) di sini, hari ini.

Hari ini, tular video berdurasi 37 saat yang menunjukkan penganjuran sebuah konsert yang berlangsung di dalam dewan sebuah universiti di Terengganu.

Mengulas lanjut, Satiful berkata pematuhan terhadap garis panduan hiburan yang ditetapkan perlu dipatuhi walaupun konsert itu diadakan dalam kawasan persendirian.

“Saya rasa, kena ikutlah garis panduan yang sepatutnya walaupun dalam kawasan persendirian, ia masih lagi terikat dengan garis panduan dasar-dasar kerajaan negeri yang meletakkan asas pematuhan syariah.

“Jadi, saya akan tanya balik, semak semula macam mana sebab saya baru dapat maklumat ini,” katanya.

Loading...
Terkini