comscore
Tumpuan :
Nasional

Pahang hantar bantuan lebih RM1.6 juta ke Gaza

 

Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail (empat dari kanan) diiringi Duta Palestin ke Malaysia Walid Abu Ali (empat dari kiri) pada Majlis Pelancaran Flag Off Barang Bantuan Kemanusiaan Dari Pahang ke Gaza, Palestin di Pelabuhan Klang – Foto NSTP

Oleh: Nurul Amalina Zainudin

KLANG: Atas dasar kemanusiaan dan keprihatinan terhadap nasib yang menimpa rakyat Palestin, kerajaan Pahang menghantar 30 tan bantuan ke Gaza.

Bantuan kemanusiaan yang mengandungi barangan seperti tilam, selimut, pek makanan dan ubat-ubatan itu dianggarkan bernilai RM 1.602 juta.

Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata, misi bantuan barang ini adalah hasil kutipan derma menerusi tabung Pahang4Palestin yang mula digerakkan Oktober tahun lalu.

“Apa yang mampu kita buat? Sedangkan kita amat bersimpati dengan saudara kita di Palestin, ini lah cara terbaik untuk tunjukkan perasaan kita yang kita simpati, dengan cara menderma.

“Bila kita dah ada duit, kita beli barang setelah mendapat nasihat dan panduan daripada Wisma Putra dan juga sekretariat,” katanya dalam Majlis Flag-Off Barang Bantuan Kemanusiaan Pahang ke Gaza, Palestin di Pelabuhan Klang, hari ini.

Ujarnya, bantuan kemanusiaan yang diuruskan oleh Ops Ihsan ini bakal melalui penghantaran laut, bergerak melalui Pelabuhan Klang pada 1 Jun, dan dijangka sampai pada 4 Julai depan.

Pengerusi Ops Ihsan, Jismi Johari mengulas lanjut pelayaran mengambil masa tiga hingga empat minggu sebelum tiba di Pelabuhan Said, Mesir.

“Kita ada dua pilihan untuk masuk ke dalam Gaza, sama ada melalui Rafah atau Karim Sharlom, buat masa ni memang ramai yang bertanya sebab Rafah ditutup, jadi kami amat berharap dalam masa seminggu dua lagi mungkin bila ada tekanan antarabangsa perlu dibuka semula sebab yang diberitakan hanya ada 10 hari saja bekalan makanan yang cukup untuk orang-orang dalam Gaza,” katanya.

Bantuan kemanusiaan ini merupakan kali kedua, selepas kerajaan negeri Pahang menyalurkan bantuan bernilai RM 700,000 ke Gaza, pada tahun lalu.

Kekejaman rejim Zionis ke atas rakyat Palestin di Gaza sejak 7 Oktober lalu telah mengorbankan lebih 35 ribu individu termasuk wanita dan kanak-kanak serta bayi.

Menurut Persatuan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB), sebahagian besar infrastruktur di wilayah terkepung itu rosak atau musnah, menyebabkan 85 peratus penduduk di wilayah itu hilang tempat tinggal di tengah-tengah kekurangan makanan, air bersih dan ubat-ubatan.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini