comscore
Tumpuan :
Nasional

Kerajaan pastikan setiap permohonan TVET diterima – Zahid 

Oleh: Wan Zairul Azri Wan Mohammad Sudin

PUTRAJAYA: Kerajaan akan memastikan setiap pemohon program Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) menerusi sistem Unit Pengambilan TVET (UP_TVET) akan mendapat tempat di 1,345 institusi berkenaan di seluruh negara.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berkata, Sistem Pengambilan UP_TVET yang dilancarkan hari ini berupaya untuk memadankan permohonan calon dengan setiap kursus yang dimohon berdasarkan syarat minimum kelayakan dan tempat ditawarkan.

“Kita menjangkakan bahawa 30,000 tempat yang ditawarkan, saya khuatir akan ikut trend lama (sebelum ini yang mana) akan dimohon lebih 100,000 (calon). Saya minta sekretariat Majlis TVET Negara (MTVET) untuk memastikan jangan (ada) seorang pun kecil hati dari segi memperoleh tempat untuk belajar.

“Sistem UP_TVET walaupun (pemohon) tidak ada sijil akademik sama ada Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) atau lain-lain, kita akan terima warganegara Malaysia untuk memasuki mana-mana (institusi) TVET di negara kita,” katanya berucap pada Majlis Peluncuran Sistem Pengambilan UP_TVET di Bangunan Perdana Putra, di sini.

Tambahnya, UP_TVET menawarkan dua kategori permohonan iaitu Ambilan Perdana dua tahun sekali iaitu Ambilan Januari dan Ambilan Julai serta Ambilan Sepanjang Tahun.

Untuk rekod, saluran tunggal pengambilan yang bersifat fleksibel itu telah dilaksanakan bagi Ambilan Perdana Januari lalu bermula pada 30 Oktober tahun lalu.

Sementara itu, permohonan UP_TVET bagi Ambilan Perdana Julai yang melibatkan semua institusi TVET di bawah tujuh kementerian dengan 744 kursus ditawarkan mula dibuka bermula 25 Mac lalu.

Mengulas lanjut, Ahmad Zahid yang juga Pengerusi Jawatankuasa MTVET berkata, kursus yang ditawarkan turut menumpukan TVET bertaraf tinggi seperti kecerdasan buatan (AI), internet kebendaan (IOT), robotik, kenderaan elektrik (EV) dan kursus yang sangat relevan dengan permintaan industri.

“Menerusi pelaksanaan sistem ini, saya benar mengharapkan Dasar TVET 2030 yang akan diluncurkan Perdana Menteri nanti, lebih ramai akan timbul kesedaran dan kejayaan untuk mereka yang belum ada pekerjaan diberi latihan sewajarnya.

“Ia sekali gus membolehkan kadar pengangguran berada di tingkat paling bawah dan mungkin berada kurang satu digit kalau boleh, kerana memberi peluang pekerjaaan berketerampilan lebih awal apa yang sepatutnya diperlukan oleh industri,” katanya.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini