KLANG: Datuk Seri Anwar Ibrahim memberi bayangan isu pelantikan Menteri Besar Selangor yang baharu sudah dimuktamad.
Pada masa sama, Perdana Menteri turut memberi gambaran polemik berkaitan Kerajaan Perak juga sudah diselesaikan.
“Kerajaan Perak ‘settled’ (selesai). Kerajaan Selangor pun ‘settled’ (selesai),” katanya ringkas ketika ditemui selepas menunaikan solat Jumaat di Masjid Jamek Ar-Rahimiah di sini, hari ini.
Terdahulu, Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad dilaporkan mengakui gerakan pihak tertentu untuk menumbangkan kerajaan negeri di bawah pentadbiran Kerajaan Perpaduan di antara Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Harapan (PH) sememangnya wujud.
Saarani dipetik berkata, khabar angin mengenai wujud gerakan menjatuhkan, seterusnya menukar pentadbiran kerajaan yang tersebar sejak beberapa bulan lalu, bukanlah sekadar cakap-cakap kosong.
Menerusi maklumat diperolehinya, gerakan itu didakwa masih berusaha memujuk, sekurang-kurangnya empat Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) kerajaan untuk menyokong Perikatan Nasional (PN) sebagai pembangkang bagi memperolehi majoriti mudah membentuk Kerajaan Negeri.
Mengenai Kerajaan Selangor, sebelum ini wujud spekulasi Datuk Seri Amirudin Shari tidak akan dilantik ke jawatan Menteri Besar bagi penggal kedua, selepas PH gagal memperoleh majoriti dua pertiga pada pilihan raya negeri (PRN), baru-baru ini.
Amirudin yang juga Pengerusi PH Selangor itu didakwa gagal mendapat sokongan pengundi Melayu, biarpun berjaya mempertahan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Tua, selain mempamer prestasi yang bagus sebagai Menteri Besar.
Kerajaan Perpaduan memenangi 34 kerusi DUN Selangor pada PRN Sabtu lalu, manakala PN memperoleh 22 kerusi.