Tumpuan :
Nasional

Kerajaan perhalusi pembangunan sempada Malaysia-Thailand

FOTO: NSTP

KOTA BHARU: Kerajaan sedang memperhalusi projek pembangunan di sempadan Malaysia-Thailand, kata Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli.

Beliau berkata, kerajaan perlu membangunkan format dan model pembangunan terlebih dahulu sebelum peruntukan dibuat.

“Seperti yang saya terangkan keseluruhan dan bentuk pembangunan sempadan Malaysia-Thailand sedang diperhalusi.

“Kita perlu membangunkan format dan model pembangunan terlebih dahulu bukan sahaja di Kelantan sebaliknya semua negeri bersempadan.

“Dari situ, barulah kita boleh tentukan jumlah peruntukan dan bagaimana pembangunan sempadan yang akan dilaksanakan,”
katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita pada sidang media selepas Sesi Libat Urus Rancangan Malaysia Ke-13, (RMK13) Kementerian Ekonomi bersama Kerajaan Negeri Kelantan di Kompleks Darulnaim, di sini, hari ini.

Mengulas lanjut katanya, Kerajaan Pusat sudah memperuntukkan RM1 bilion tahun lalu untuk menaik taraf infrastruktur sempadan di utara dan Sabah, Sarawak.

Terdahulu, media melaporkan, projek pembinaan tembok sempadan Kelantan-Thailand dianggarkan membabitkan kos sebanyak RM445.748 juta termasuk kos pengambilan balik tanah.

Menteri Besar Kelantan, Datuk Mohd Nassuruddin Daud, berkata cadangan pembinaan tembok keselamatan dan kawalan banjir berkenaan amatlah relevan untuk ekonomi negeri.

Katanya, Kelantan serius untuk menangani dan membanteras jenayah penyeludupan serta mengatasi masalah banjir di kawasan Sungai Golok iaitu sepanjang 99 kilometer (km).

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini