comscore
Tumpuan :
Nasional

Kerajaan perkasa TVET untuk tingkatkan tenaga kerja profesional Bumiputera

TVET kini mendapat perhatian serius daripada kerajaan dengan Dasar TVET Negara dijangka dibentang di Kabinet pada Mac depan sebelum dilancarkan pada 2 Jun bersempena Hari TVET Negara.

PUTRAJAYA: Peningkatan tenaga kerja profesional dan kompeten golongan Bumiputera berasaskan Pendidikan Teknikal dan Vokasional (TVET) adalah antara fokus kerajaan ke arah usaha memperkasakan TVET.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, fokus berkenaan termasuk meningkatkan pembabitan Bumiputera dalam kerjaya berkemahiran, selain merancakkan pembangunan teknousahawan Bumiputera dan melonjakkan penghasilan Huffaz berkemahiran.

“Pemerkasaan TVET sebagai pilihan kerjaya utama adalah penting untuk memenuhi keperluan pasaran tenaga kerja semasa dan masa depan.

“Ketika ini terdapat 1,345 penyedia TVET awam, dan swasta yang dikawal selia oleh 12 kementerian, termasuk 24 institusi TVET kerajaan negeri yang menyediakan pengajian serta latihan peringkat sijil dan diploma,” katanya kepada Bernama sempena Kongres Ekonomi Bumiputera (KEB) 2024 yang dijadualkan berlangsung pada 29 Februari hingga 2 Mac ini.

Ahmad Zahid yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah berkata, beliau percaya institusi TVET dalam negara ketika ini mencukupi untuk menampung kemasukan pelajar semasa, dan keperluan penambahan institusi TVET adalah bergantung kepada enrolmen kemasukan pelajar dari semasa ke semasa.

Ditanya mengenai bidang baharu TVET yang perlu dipelopori memandangkan saban hari terdapat pelbagai teknologi baharu yang diperkenalkan, beliau berkata sistem pendidikan TVET negara akan memberi tumpuan kepada bidang baharu antaranya kenderaan elektrik (EV), kecerdasan buatan (AI), komunikasi dan digital serta tenaga solar.

“Antara pendekatan yang akan diambil adalah dengan menjalin kerjasama antara negara luar yang mempunyai kepakaran dalam bidang berkaitan seperti China, Jepun dan Jerman.

“Kerjasama ini bakal memberi manfaat kepada pelajar tempatan untuk mendapat pendedahan kemahiran dalam bidang baharu daripada syarikat luar yang beroperasi di Malaysia,” katanya.

TVET kini mendapat perhatian serius daripada kerajaan dengan Dasar TVET Negara dijangka dibentang di Kabinet pada Mac depan sebelum dilancarkan pada 2 Jun bersempena Hari TVET Negara.

Ahmad Zahid sebelum ini juga dilaporkan berkata, kerajaan berhasrat menghantar pelajar Malaysia mengikuti pengajian dalam bidang TVET di China selaras dengan Dasar Pandang Ke Timur 2.0.

Menurutnya perancangan itu adalah antara usaha kerajaan memperkasa TVET negara, dan kerajaan berhasrat menghantar lebih ramai pelajar Malaysia mengambil jurusan itu di Jepun dan Korea Selatan.

Loading...
Terkini