comscore
Tumpuan :
Nasional

Kerajaan perkukuh undang-undang berkaitan ‘Lemon Law’

Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Datuk Armizan Mohd Ali

KOTA BHARU: Kerajaan sedang memperkukuhkan elemen perundangan berkaitan ‘Lemon Law’ termasuk membuat pindaan yang bersesuaian kepada akta sedia ada.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Datuk Armizan Mohd Ali, berkata langkah itu bertujuan menyediakan rangka kerja perlindungan yang lebih menyeluruh kepada rakyat.

“Baru-baru ini, saya mengumumkan dalam Simposium Kepenggunaan yang kita anjurkan, dalam konteks meningkatkan perlindungan kepada pengguna dan kita sedang membuat kajian untuk memperkukuhkan elemen ‘Lemon Law’.

“Elemen ini adalah dalam kerangka perundingan sama ada untuk membuat pindaan yang bersesuaian kepada akta-akta sedia ada, mahupun sekiranya perlu, kita memperkenalkan elemen-elemen Lemon Law.

“Ini bagi memastikan rakyat dilindungi dengan baik dengan diberi hak untuk mendapatkan semula kerugian daripada pembekal atau pengedar yang tidak membekalkan barangan mengikut kualiti yang diberikan jaminan,” katanya ketika berucap dalam Program Jelajah Karnival KPDN 2024 Zon Timur di Pusat Transformasi Luar Bandar (RTC), di sini, semalam.

Armizan berkata, undang-undang itu adalah usaha kerajaan untuk melindungi hak pengguna jika kereta itu mempunyai kecacatan yang menjejaskan nilai atau keselamatannya dengan ketara dan yang tidak boleh dibaiki dalam tempoh tertentu.

Undang-undang Lemon menyediakan penyelesaian untuk pembeli kenderaan bermotor dan barangan pengguna lain untuk mendapatkan pampasan bagi produk yang berulang kali gagal memenuhi piawaian kualiti dan prestasi.

Ketika ini, empat akta iaitu Akta Perlindungan Pengguna 1999, Akta Kontrak 1950, Akta Jualan Barangan 1957 dan Akta Sewa Belia 1967 turut mempunyai komponen Lemon Law.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa

Loading...
Terkini