comscore
Tumpuan :
Nasional

Kerajaan Perlu Kekalkan Dasar Solidariti Palestin, Tidak Iktiraf Israel

Foto hiasan.

KUALA LUMPUR: Kerajaan dibentuk selepas Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) digesa mengamalkan pendirian jelas dan tidak berbelah bahagi untuk meneruskan dasar supaya tidak mengiktiraf negara apartheid Zionis Israel.

Selain itu, kerajaan yang akan dibentuk selepas PRU-15 juga digesa mengambil langkah sewajarnya bagi menggagalkan sebarang usaha untuk menjejaskan keselamatan Malaysia oleh negara Zionis Israel.

Gesaan itu disuarakan 27 organisasi terdiri pertubuhan dan badan bukan kerajaan (NGO) sebagai ingatan untuk diambil perhatian oleh semua calon dan parti politik yang bertanding dalam PRU-15.

Organisasi terbabit terdiri BDS Malaysia, Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM), Pertubuhan Ikram Malaysia (IKRAM), Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (MAPIM), Pertubuhan Mawaddah Malaysia, Muslim Professionals Forum, Viva Palestina Malaysia, Yayasan Ikram Malaysia, Global Peace Mission (GPM) Malaysia, Sekretariat Himpunan Ulama Rantau Asia, Aliansi Masjid Sedunia Mempertahan Masjid Al Aqsa dan Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysi (PKPIM).

Turut menyokong gesaan sama ialah Persatuan Pelajar Islam Asia Tenggara (PEPIAT), MyCARE, Malaysian Women Coalition for al Quds and Palestine (MWCQP), CENTHRA Malaysia, Malaysian Humanitarian Aid and Relief (MAHAR), Malaysia for Palestine (M4P), Pertubuhan Himpunan Lepasan Institusi Pendidikan Malaysia (HALUAN), Persatuan Cinta Gaza Malaysia (CGM), MyAqsa Defenders, Muslim Care Malaysia, PCOM, MAHABBAH MALAYSIA, RumahNgaji Negeri Sembilan (RNNS), Wanita PERKIM Seremban (WPS) dan Citizens International (CI).

Dalam pada itu, organisasi terbabit melalui kenyataan bersama berkata, menegaskan kekejaman mengerikan dan penindasan berterusan terhadap rakyat Palestin di tangan Zionis sejak 74 tahun lalu adalah satu noda pada hati nurani moral seluruh masyarakat antarabangsa.

Justeru, menjadi kewajipan untuk bersolidariti dengan warga Palestin serta memberikan sokongan padu kepada perjuangan mereka untuk memperoleh hak keadilan, kebebasan serta menamatkan penindasan terhadap mereka adalah tanggungjawab yang melampaui kaum, agama dan kepercayaan.

Lebih membimbangkan, katanya Israel sedang berusaha mendapatkan pengiktirafan diplomatik dan normalisasi hubungan dari lebih banyak negara dan Malaysia sememangnya antara yang menjadi sasaran Israel untuk hubungan normal.

“Oleh itu, Malaysia mesti menolak sebarang langkah normalisasi dengan Israel. Malaysia harus tegas dalam menolak aparteid Israel seperti mana Malaysia pernah menolak dan menentang rejim apartheid di Afrika Selatan satu ketika dahulu,” katanya.

Mengulas ancaman keselamatan daripada Israel, katanya, beberapa kejadian berlaku di negara ini menunjukkan bahawa negara Zionis itu telah dan sedang mencuba untuk menjejaskan keselamatan dan kedaulatan negara ini.

Paling membimbangkan, katanya kejadian terkini di mana warga negara Malaysia diupah menjayakan usaha agensi perisikan Israel Mossad.

“Begitu juga laporan pemerolehan perisian pegintipan NSO/Pegasus oleh agensi keselamatan dalaman Malaysia dari pembekal yang mempunyai hubungan rapat dengan agensi perisikan Israel.

“Kerajaan Malaysia yang dibentuk oleh mana-mana parti mesti mengambil langkah segera untuk menghapuskan ancaman sedemikian terhadap keselamatan negara serta memberi jaminan kepada rakyat Malaysia bahawa tiada tindakan, sama ada secara sengaja atau sebaliknya, telah diambil yang akan menyebabkan keselamatan negara terdedah kepada penembusan oleh pihak Zionis Israel,” katanya. -BERITA HARIAN

Loading...
Terkini