comscore
Tumpuan :
Nasional

Kerajaan Perpaduan akan terus kukuh dan kekal untuk lima tahun – PM

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim – FOTO: NSTP

SHAH ALAM: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yakin Kerajaan Perpaduan di bawah kepimpinannya akan terus kukuh dan kekal bertahan dalam tempoh lima tahun akan datang.

Menurut Ahli Parlimen Tambun itu, keyakinannya bersandarkan sokongan kukuh parti yang bersama membentuk Kerajaan Perpaduan sejak empat bulan lalu.

Keyakinan itu disuarakan Anwar yang juga Presiden PKR ketika menyampaikan ucapan dasar di Kongres Khas PKR di sini hari ini.

“Untuk kita mantap sebagai satu kerajaan lima tahun ini, kita perlu kerjasama padu supaya kita tumpu membetulkan kerosakan yang berlaku dan membangunkan negara dan rakyat.

“Usaha untuk menggugat sedikit sebanyak itu ada tetapi saya yakin Kerajaan Perpaduan akan terus kukuh dan kekal untuk lima tahun.

“Tanggungjawab kita bersama ialah menempatkan semangat perjuangan, menggilap obor reformasi dan jentera parti harus bergerak supaya agenda madani ini dapat diterjemahkan secara lebih serius dan bermakna,” katanya.

Kongres yang berlangsung di Stadium Malawati hari ini bertemakan Malaysia Madani: Pelaksanaan Sebuah Idealisme.

Ia turut dihadiri Timbalan Presiden PKR, Rafizi Ramli; Setiausaha Agung, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail; Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke; Naib Presiden Parti Amanah Negara (AMANAH), Datuk Seri Dr Mujahid Yusof.

Ia turut dihadir 41 perwakilan asing sebagai pemerhati.

Bagaimanapun, tidak ada wakil Barisan Nasional (BN) hadir. — BERITA HARIAN

Loading...
Terkini