comscore
Tumpuan :
Nasional

Kerajaan Perpaduan ketepi perbezaan, bekerja satu pasukan

FOTO: NSTP

Oleh: Wan Zairul Azri Wan Mohammad Sudin

PUTRAJAYA: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengakui pasukan pimpinannya bekerja sebagai satu pasukan dengan mengetepikan perbezaan politik.

Beliau berkata, ia dicapai melalui kesatuan pemikiran semua anggota pentadbirannya dan tekad yang sama demi menyelamatkan negara.

“Saya secara peribadi setakat ini tengok pasukan kerja dan rakan-rakan (Jemaah Menteri) walaupun latar belakang pelbagai, sejarah pertelingkahan, pembenturan idea dan pergaduhan itu besar terutama saya dengan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi.

“Tetapi alhamdulillah tidak boleh dinafikan ialah kesatuan pemikiran dan kesatuan tekad itu wujud. Ini kenyataan yang kita bekerja sebagai pasukan dan maksud kita untuk menyelamatkan negara dan mengangkat Malaysia MADANI,” katanya ketika berucap pada Majlis Perjumpaan Perdana Menteri bersama warga Jabatan Perdana Menteri bulan Februari di Dewan De’ Seri Endon, PUSPANITAPURI di sini, pagi ini.

Beliau berkata, pelbagai kejayaan dilihat dalam beberapa bulan lalu seperti menangani soal pekerja asing, banjir serta keputusan menghantar Pasukan Mencari dan Menyelamat Khas Malaysia (SMART) bagi membantu usaha mencari dan menyelamat mangsa gempa bumi di selatan Turkiye, semalam.

Bagaimanapun, katanya, masih ada ruang untuk diperbaiki.

“Saya tengok keinginan pimpinan atau penjawat awam mengorak langkah dengan lebih pantas dan lebih bertanggungjawab bahawa setiap sen yang kita belanjakan itu, kita akan dipertanggungjawabkan.

“Mudah-mudahan dengan semangat untuk membawa perubahan, kita boleh memperlihatkan satu keadaan lebih baik dengan kerjasama dan komitmen ditunjukkan semua,” katanya.

Loading...
Terkini