comscore
Tumpuan :
Nasional

Kerajaan Perpaduan tak halang hak bersuara pengamal media

Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil. – FOTO: Jabatan Penerangan Malaysia

KUALA LUMPUR: Kerajaan Perpaduan tidak berhasrat untuk mengekang hak bersuara wartawan dalam membuat sebarang pelaporan.

Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil, berkata setakat ini tiada seorang wartawan pernah ditangkap, diheret ke mahkamah ataupun disoal siasat pihak berkuasa kerana membuat pelaporan ataupun menerbitkan berita mengenai skandal besar.

“Sebagai seorang demokrat, sebagai seorang yang berpegang kepada prinsip reformasi, saya dan pentadbiran ini tidak berhasrat mengekang hak bersuara khususnya hak para wartawan membuat pelaporan.

“Kebebasan media itu menjadi salah satu teras utama yang perlu bukan hanya sokong, tetapi kita juga perlu makmurkan lagi,” katanya pada sesi pertanyaan-pertanyaan Menteri di Dewan Rakyat hari ini.

Tegas beliau, kad perakuan media tidak menghalang mana-mana pengamal media untuk membuat pelaporan dan menulis berita

Katanya, mana-mana individu yang tidak mempunyai kad perakuan media juga tidak terhalang untuk menulis.

“Kad perakuan media diberikan kepada sesiapa yang ingin contohnya datang ke parlimen ataupun hadir ke majlis rasmi kerajaan seperti sambutan Hari Kebangsaaan dan ingin membuat pelaporan di majlis-majlis rasmi ini, ataupun hadir ke pejabat Perdana Menteri untuk membuat pelaporan.

“Tetapi sesiapa yang mengikuti siaran langsung wawancara ataupun siaran langsung kepada sidang media dan membuat pelaporan berdasarkan siaran langsung itu tidak menghalang.

Tambahnya, sepanjang beliau memegang portfolio sebagai Menteri Komunikasi dan Menteri Komunikasi dan Digital sebelum ini, tidak ada mana-mana pengamal media yang ditangkap.

“Saya beri jaminan, Alhamdulillah sejak saya memegang portfolio ini tidak ada seorang pun wartawan yang telah ditangkap, diheret ke mahkamah sebagai contoh, ataupun disoal siasat setakat ini, kerana membuat pelaporan.

Beliau menjawab soalan tambahan Ahli Parlimen Jelutung, RSN Rayer yang ingin tahu jaminan kerajaan dalam memastikan Kod Etika Wartawan Malaysia yang telah dikemas kini dan ditambah baik tidak akan mengekang mana-mana pengamal media untuk melaporkan atau membongkarkan sesuatu skandal dan sebagainya.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini