Oleh: Juliana Sharin
KUALA LUMPUR: Peruntukan yang diberikan Kerajaan Perpaduan kepada Kelantan lebih tinggi berbanding ketika PAS dan BERSATU berada dalam kerajaan dahulu.
Penegasan itu dibuat Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim bagi menafikan dakwaan Ahli Parlimen Bachok, Mohd Syahir Sulaiman bahawa kerajaan Persekutuan menganaktirikan Kelantan.
Beliau yang juga Menteri Kewangan itu berkata pandangan tersebut tidak mengikut fakta.
Tambahnya, peruntukan Kelantan paling tinggi iaitu untuk tebatan banjir, air bersih dan pembangunan negeri.
“Sepatutnya dia tanya bagaimana pengurusan Kelantan. Sepatutnya pemimpim muda lebih berani membetulkan masalah dalaman dia disamping memberikan cadangan. Semua cadangan penting kerajaan negeri Kelantan saya telah terima, tebatan banjir, air bersih dan pembangunan negeri,” ujarnya.
Beliau ditemui pada Persidangan Meja Bulat Asia Pasifik (APR) ke-36 di ibu negara.
Mohd Syahir dalam program debat bersama Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli berkata, punca utama Kelantan masih menjadi negeri miskin ialah disebabkan isu ‘federalisme’.
Menurut Mohd Syahir, isu itu telah menyebabkan beberapa hak negeri Kelantan dinafikan termasuk royalti disebabkan perbezaan pentadbiran antara kerajaan Persekutuan dan negeri.