comscore
Tumpuan :
Nasional

[VIDEO] Kerajaan Persekutuan setuju serah balik 55 lot tanah Sarawak, Sabah

Oleh: Wan Zairul Azri Wan Mohammad Sudin

PUTRAJAYA: Kerajaan Persekutuan bersetuju untuk mengembalikan semula 55 daripada 224 lot tanah yang disenaraikan Kerajaan Negeri Sarawak dan Sabah, selaras dengan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof berkata, persetujuan itu membabitkan 52 daripada 219 lot tanah di Bumi Kenyalang, manakala tiga daripada lima lot tanah di Negeri Bawah Bayu.

Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Perladangan dan Komoditi, Datuk Seri Fadillah Yusof ketika sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Teknikal Majlis Tindakan Pelaksanaan Perjanjian Malaysia 1963 (MTPMA63) di Putrajaya. – FOTO: NSTP/MOHD FADLI HAMZAH

“Sudah pasti Kerajaan Negeri Sabah dan Sarawak akan membayar balik kepada Kerajaan Persekutuan jumlah pampasan yang telah dibayar pada harga ketika Kerajaan Persekutuan mengambil alih tanah tersebut dahulu.

“Sebab tanah ini tidak digunakan lagi oleh Kerajaan Persekutuan tapi tanah itu kadang-kadang terbiar dan sebagainya, jadi untuk sudut keselamatan, kesihatan dan sebagainya, ianya perlu diserah semula kepada Kerajaan Negeri tertakluk kepada apa yang dipersetujui,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Teknikal Majlis Tindakan Pelaksanaan Perjanjian Malaysia 1963 (MTPMA63) Bilangan 1 Tahun 2023 di sini hari ini.

Hadir sama, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Sabah, Sarawak dan Tugas-Tugas Khas), Datuk Armizan Mohd Ali dan Timbalannya, Datuk Ugak Kumbong.

Ujar Menteri Perladangan dan Komoditi itu, sebahagian tanah itu diambil alih sejak 20 hingga 30 tahun lalu dan akhirnya menjadi kawasan penempatan setinggan.

Mengikut dasar sedia ada, mana-mana tanah yang diambil alih Kerajaan Persekutuan dan tidak dibangunkan atau diduduki selama lima tahun, Kerajaan Negeri berhak untuk berunding mendapatkan semula lot tanah tersebut.

“Dari situ, mereka akan mengadakan rundingan dan Kerajaan Persekutuan perlu menjelaskan sama ada masih memerlukan lot tanah tersebut dan jika tidak, ia perlu diserah semula kepada Kerajaan Negeri.

“Di Sarawak dulu, tanah yang diambil alih untuk pembangunan semula pusat pentadbiran persekutuan dalam ribuan ekar tapi sampai sekarang belum dibuat apa-apa. Salah satu sebab mengatakan ada sebahagian tanah adalah tanah paya dan tidak sesuai dibangunkan.

“Sebab itu dikatakan kalau Kerajaan Persekutuan tidak berhasrat membangun tanah tersebut jadi Kerajaan Sarawak mengatakan elok dikembalikan dan Kerajaan Negeri memulangkan sebarang pampasan,” katanya.

Sementara itu, MTPMA63 bersetuju supaya cadangan pengambilalihan Pelabuhan Bintulu daripada kerajaan Persekutuan dibincangkan dalam jawatankuasa yang dipengerusikan bersama Armizan; Menteri Pengangkutan, Anthony Loke serta Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Douglas Uggah Embas.

“Ketiga-tiga mereka akan duduk bersama dengan pegawai untuk mencari kaedah kalau ianya dipersetujui, apakah kaedahnya, apakah sudut perundangan dan kewangan yang akan terlibat dari segi bagaimana Kerajaan Negeri akan membayar semula kepada Kerajaan Persekutuan dan sebagainya untuk pengambilan pelabuhan tersebut,” katanya.

Sebelum ini, media melaporkan permintaan Sarawak untuk mengambil alih Pelabuhan Bintulu bertujuan menjadikannya sebahagian daripada kluster pelabuhan negeri yang akan dikawal selia oleh pihak berkuasa pelabuhan pusat.

Penukaran status pelabuhan untuk dikembalikan kepada Sarawak adalah bersesuaian dengan perkara yang terkandung dalam Perlembagaan Persekutuan dan Perlembagaan Sarawak yang meletakkan pelabuhan di bawah bidang kuasa kerajaan negeri.

Loading...
Terkini