Tumpuan :
Nasional

Kerajaan peruntuk RM72.1 juta baiki 29 cerun runtuh akibat MTL

Timbalan Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Ahmad Maslan di Dewan Negara, hari ini.

Oleh: Fatin Hanani Sahimi

KUALA LUMPUR: Kerajaan memperuntukkan RM72.1 juta bagi melaksanakan kerja-kerja pembaikan cerun runtuh berikutan Monsun Timur Laut (MTL) baru-baru ini.

Timbalan Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Ahmad Maslan berkata, sebanyak 29 cerun runtuh melibatkan enam negeri termasuk dua di Kedah, Kelantan (5), Negeri Sembilan (5), Perak (11), Selangor (1) dan Terengganu (5).

“Pecahan kepada jumlah keseluruhan kos yang diperuntukan adalah seperti berikut, Kedah RM3.5 juta; Kelantan RM7.5 juta; Negeri Sembilan RM2 juta; Perak (melibatkan tanah runtuh di jalan ke Cameron Highland) RM4.7 juta; Selangor RM1.5 juta; dan Terengganu RM10.6 juta,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan tambahan Senator Nik Mohamad Abduh Nik Abdul Aziz berkenaan rancangan baik pulih ke atas 10 tanah cerun runtuh yang dikesan di Kelantan akibat banjir baru-baru ini.

Dalam pada itu, ujarnya sebanyak 34,714 jumlah cerun direkodkan di seluruh negara meliputi Jalan Persekutuan Semenanjung sebanyak 26,722; Sarawak, 3,633; Sabah 4,178; dan Labuan 181.

Daripada jumlah itu, sebanyak 1,045 cerun yang berisiko tinggi direkodkan manakala cerun berisiko sangat tinggi sebanyak 1,577.

Tambahnya, bagi penyelesaian jangka panjang pihaknya melaksanakan pemantauan masa nyata secara setempat atau ‘localize’ bagi memastikan tindakan segera diambil jika berlaku kejadian tanah runtuh selain pemasangan alat untuk mendapatkan data yang lebih tepat dan relevan serta penggunaan tolok hujan bagi mendapatkan data taburan hujan.

“Bagi mengelak kejadian tanah runtuh, KKR melalui cawangan kejuruteraan Jabatan Kerja Raya (JKR), telah melaksanakan kerja- kerja pencegahan dengan melakukan penyenggaraan rutin di cerun-cerun yang berisiko tinggi dan sangat tinggi agar tidak membahayakan orang awam tertakluk kepada peruntukan yang diterima daripada Kementerian Kewangan.

“Kerja-kerja pembaikan (corrective) adalah menjadi keutamaan kepada Kementerian untuk dilaksanakan terlebih dahulu bagi cerun-cerun yang telah runtuh agar keselamatan pengguna jalan raya terjamin dan rangkaian perhubungan berjalan lancar,” ujarnya.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini