comscore
Tumpuan :
Nasional

Kerajaan Pusat jamin atasi isu air Sungai Bakap, tanpa kira keputusan PRK – Akmal

NIBONG TEBAL: Kerajaan Perpaduan tetap bertanggungjawab untuk membantu penduduk Sungai Bakap dalam isu air yang membelenggu sejak beberapa tahun lalu walau apapun keputusan Pilihan Raya Kecil (PRK) Sungai Bakap, 6 Julai ini.

Timbalan Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air (PETRA), Akmal Nasrullah Mohd Nasir berkata, beliau akan tetap turun ke Sungai Bakap untuk menyelesaikan masalah berkenaan selepas pilihan raya selesai demi tanggungjawab kerajaan.

“Bagi saya menang atau kalah (PRK Sungai Bakap) komitmen kita untuk bantu (penduduk) Sungai Bakap kita akan teruskan.

“Kalau tak pilih calon kita jadi wakil rakyat pun saya bagi jaminan dekat orang Sungai Bakap, saya (akan) turun bantu. Jangan risau, saya tak ugut (apatah lagi) sudah dapat kelulusan dasar (berhubung langkah-langkah mengatasi isu air Sungai Bakap).

“Cuma jika (pengundi Sungai Bakap) pilih wakil (kita) akan lebih (senang) untuk memahami keadaan (semasa) yang wakil kita boleh bantu (dari segi) memastikan pelan mitigasi (yang dirancang) mengikut masa ditetapkan dan dapat turun dengan saya untuk pastikan projek berjalan lancar,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Ceramah Perpaduan PRK N20 Sungai Bakap di Dewan MPKK Sungai Kechil, di sini, malam tadi.

Akmal Nasrullah Mohd Nasir

Akmal Nasrullah yang juga Ketua Angkatan Muda PKR berkata, beliau menyedari Perikatan Nasional (PN) kini menggunakan isu air sebagai modal kempen dan ada pemimpin parti berkenaan sebelum itu mempolitikkannya sehingga menjadi isu perkauman.

“Di sini (Sungai Bakap) kita akui ada cabaran nak pastikan air sampai kerana air ini bermula dari Loji Rawatan Air (LRA) Sungai Dua dan bila nak datang ke kawasan Seberang Perai Selatan jaraknya lebih 50 kilometer (km).

“Selepas itu, air bukan boleh terus sampai ke sini (Sungai Bakap), kena singgah masuk kawasan lain dulu antaranya kawasan industri.

“Ketika lawatan saya ke Pulau Pinang pada awal Januari lalu ketika itu kerja-kerja penukaran injap yang menyebabkan bekalan air negeri ini terjejas sementara, Ketua Menteri (Chow Kon Yeow) telah menerangkan cabaran dihadapi. Pulau Pinang ada Pelan Kontingensi Air 2030 (WCP 2030), ada juga langkah mitigasi sedang dibuat dan kini menunggu hasrat Projek Air Perak Pulau Pinang direalisasikan,” katanya.

Dalam pada itu, Akmal Nasrullah turut menjemput Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor bersama pasukannya untuk turun bermain bola sepak Ahad depan dan berbincang apa juga isu rakyat termasuk isu berkaitan air.

“Ini jemputan terbuka buat Panglima Perang Kedah untuk beliau bersama pasukannya bermain bola sepak dengan kami dari PH.

“Selalu beliau marah dengan saya bila buat lawatan di Kedah tidak jemput beliau sekali tetapi kali ini saya nak jemput beliau (bermain bola sepak) dan kita bincang cara nak menyelesaikan masalah rakyat jelata,” katanya.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini