comscore
Tumpuan :
Nasional

Kerajaan rancang bangunkan rangkaian rel hubungkan Malaysia dan China

KUALA LUMPUR: Kementerian Pengangkutan merancang untuk membangunkan rangkaian rel yang akan menghubungkan Malaysia dan China.

Menteri Pengangkutan, Anthony Loke berkata, rangkaian rel itu akan bermula dari Kuala Lumpur atau Johor Bahru sehingga ke Kunming, China.

Bagaimanapun beliau berkata, kementerian memerlukan kerjasama lanjut daripada negara jiran (Thailand dan Laos) untuk membincangkan cara bekerjasama dalam pembinaan landasan kereta api yang menghubungkan kedua-dua negara.

“Membina rangkaian ini adalah mungkin dan saya menyeru kerajaan China untuk membantu dari segi memudahkan pertukaran ini.

“Dan diharapkan, China boleh memainkan peranan penting dalam membantu meyakinkan negara-negara lain seperti Laos dan Thailand, supaya satu hari nanti kita boleh mempunyai perkhidmatan kereta api yang lancar antara Asia Tenggara sehingga ke China.

“Saya mengharapkan kerjasama ini. Dan bukan saja barangan, saya berharap suatu hari nanti, kita dapat menyediakan tren penumpang antara Malaysia sehingga ke China,” katanya pada majlis pelancaran perkhidmatan kereta api laut pertama Keretapi Tanah Melayu Bhd (KTMB) dengan kerjasama Cosco Shipping Lines di sini, hari ini.

KTMB mencapai satu lagi kejayaan luar biasa untuk perkhidmatan barangan di Malaysia, menerusi KTM Kargo selepas bekerjasama dengan Cosco Shipping Lines, syarikat perkapalan yang berpangkalan di China yang beribu pejabat di Shanghai China, untuk menawarkan penyelesaian pengangkutan yang lebih pantas dan cekap untuk pelanggan.

Kerjasama baharu itu ditetapkan untuk menghubungkan titik pedalaman utama ke pelabuhan laut di seluruh wilayah semenanjung, menyediakan laluan perdagangan yang stabil, lebih murah dan lebih mudah untuk barangan import dan eksport.

Loke berkata, ia akan menjimatkan masa transit dengan ketara kepada empat hari dan menjimatkan kos untuk semua pelanggan import dan eksport di kawasan pedalaman Malaysia, di samping meningkatkan pertumbuhan ekonomi dan peluang pelaburan di negara ini.

Beliau berkata, perkhidmatan itu dijangka bermula bulan ini dan menyasarkan untuk memindahkan 400 gerabak sebulan atau 800 unit bersamaan dua puluh kaki sebulan.

“Bermula dari Pelabuhan Pulau Pinang, Pelabuhan Klang dan Padang Besar, perkhidmatan laut sebenar akan berkembang ke Pasir Gudang dan Ipoh pada masa hadapan.

“Melangkah ke hadapan, saya yakin lebih ramai rakan kongsi tampil daripada pengangkutan jalan, pengendali pelabuhan, penghantar kargo, pengendali terminal antara mod serta penyedia logistik pihak ketiga untuk menyediakan perkhidmatan penghantaran yang lancar,” tambahnya. — BERITA HARIAN

Loading...
Terkini