comscore
Tumpuan :
Nasional

Kerajaan rancang pelan tindakan perlindungan undang-undang kepada kanak-kanak – Azalina

Foto hiasan

KOTA TINGGI: Kerajaan merancang mewujudkan satu pelan tindakan bagi memberi perlindungan undang-undang kepada kanak-kanak di dalam negara, termasuk kanak-kanak bukan warganegara Malaysia.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said berkata, idea pelan tindakan itu bakal diperoleh melalui Simposium Antarabangsa: Pemerkasaan Suruhanjaya Kanak-Kanak: Memperkukuh Hak dan Melindungi Masa Depan.

Katanya, simposium bertaraf antarabangsa itu dijangka akan diadakan di Auditorium, Pusat Timbang Tara Antarabangsa Asia (AIAC), pada Isnin dan Selasa ini.

“Simposium ini membawa pandangan beberapa pakar dari dalam dan luar negara berhubung kewujudan Pejabat Suruhanjaya Kanak-kanak di negara masing-masing.

“Kita akan menilai cara dan cabaran mereka supaya kesilapan mereka kita tidak boleh ulang meskipun kita baru dalam mewujudkan Suruhanjaya Kanak-Kanak ini. Walaupun kita sudah ada dibawah SUHAKAM tetapi kita nak ada pengkhususan.

“Jadi harapan saya simposium selama dua hari ini kita akan dapatkan ‘roadmap’ untuk memberikan lebih banyak perlindungan daripada segi undang-undang kepada kanak-kanak dalam negara kita, sama ada anak Malaysia atau anak bukan warga negara Malaysia.

“Ini adalah isu lebih kepada perlindungan undang-undang. Saya tidak sentuh isu kebajikan, persekolahan tetapi isu undang-undang kanak-kanak,” katanya yang akan merasmikan Simposium berkenaan pada Isnin ini.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pada Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri Parlimen Pengerang di Dataran Tasik Bandar Penawar di sini, malam tadi.

Program yang julung kalinya diadakan itu anjuran bersama Bahagian Hal Ehwal Undang-undang Jabatan Perdana Menteri (BHEUU), UNICEF Malaysia, Delegasi Kesatuan Eropah ke Malaysia, dan Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (SUHAKAM).

Seramai 10 pakar dari pelbagai negara termasuk Thailand, Filipina dan Australia akan berbincang dan memberikan pandangan dalam simposium berkenaan.

Simposium itu juga menampilkan bekas Pengerusi Jawatankuasa PBB mengenai Hak Kanak-kanak, Dr Mikiko Otani, bekas Pesuruhjaya Kanak-kanak Scotland, Prof Bruce Adamson dan Pesuruhjaya Kanak-kanak Kebangsaan dari Australia, Anne Hollonds.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini