comscore
Tumpuan :
Jenayah

Kerajaan rangka pinda Akta Kesihatan Mental, ubah takrifan cubaan bunuh diri

Foto hiasan

Oleh: Syafiqah Damanhuri

KUALA LUMPUR: Kerajaan sedang merangka untuk membawa usul meminda Akta Kesihatan Mental dengan menjadikan kesalahan cubaan bunuh diri bukan lagi diklasifikasikan sebagai jenayah.

Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Ramkarpal Singh berkata, satu memorandum jemaah menteri bakal dikemukakan untuk mendapat kelulusan untuk tujuan itu.

Katanya, rang undang-undang itu diharap dapat dibawa ke Dewan Rakyat pada sesi Parlimen kali ini.

“Pada masa ini Akta Kesihatan Mental perlu dipinda bagi mengubah penakrifan seseorang yang ingin cuba membunuh diri. Ini boleh menimbulkan masalah bagi usaha untuk menyelamatkan orang tersebut”

“Jadi bagi menyenangkan usaha menyelamatkan (individu) tersebut, Akta Kesihatan Mental perlu dipinda untuk mengambil keluar penakrifan seorang cuba bunuh diri untuk membolehkan pegawai penguatkuasa seperti bomba, polis boleh menyelamatkan orang ingin cuba bunuh diri ke bagi tujuan bawa ke hospital penilaian dalam tempoh 24 jam.” katanya ketika menjawab soalan Ahli Parlimen Bandar Kuching, Dr Kelvin Yii Lee Wuen di Dewan Rakyat.

Tambahnya, beliau telah mempengerusikan 10 sesi libat urus bagi memperincikan perkara itu.

Pada 22 September tahun lalu, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dilaporkan bakal membentangkan hasil kajian cadangan pindaan Seksyen 309 Kanun Keseksaan membabitkan moratorium (penangguhan) terhadap pendakwaan dan sabitan kesalahan cubaan bunuh diri.

Menterinya ketika itu, Khairy Jamaluddin berkata, pembentangan itu melibatkan pihak-pihak berkepentingan seperti Kementerian Dalam Negeri (KDN) dan polis dalam masa terdekat.

Loading...
Terkini