Tumpuan :
Nasional

Kerajaan runding tawaran Ocean Infinity teruskan pencarian MH370

Kerajaan tidak akan mengeluarkan sebarang bayaran sekiranya tiada sebarang bangkai pesawat yang ditemukan.

Oleh Zulfakhri Shamsul Ariffin

KUALA LUMPUR: Kerajaan masih berunding mengenai tawaran sebuah syarikat dari United Kingdom, Ocean Infinity untuk meneruskan operasi pencarian dasar laut untuk mengesan bangkai pesawat MH370.

Menteri Pengangkutan, Anthony Loke berkata tawaran syarikat berkenaan adalah untuk membuat pencarian di satu lokasi baharu yang dianggarkan seluas 15,000 kilometer persegi di Selatan Lautan Hindi.

Katanya, tawaran yang sedang dirunding itu berdasarkan prinsip ‘no find, no fee’.

“Mengikut prinsip “no find, no fee”, Kerajaan Malaysia tidak perlu mengeluarkan sebarang bayaran kepada syarikat ini sekiranya tiada sebarang bangkai pesawat yang ditemui.

“Lokasi kawasan pencarian baharu yang dicadangkan oleh syarikat Ocean Infinity adalah berasaskan kepada maklumat serta
analisis data terkini yang telah dibuat oleh pakar-pakar dan penyelidik yang dirujuk oleh syarikat tersebut,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Ahli Parlimen Kampar, Chong Zhemin di Dewan Rakyat hari ini.

Tambahnya, cadangan operasi pencarian oleh Ocean Infinity ialah cadangan yang kukuh dan boleh dipertimbangkan oleh Kerajaan Malaysia selaku negara pendaftaran pesawat MH370.

Pesawat yang membawa 227 penumpang dari 14 negara dan 12 anak kapal warga Malaysia dilaporkan hilang pada 8 Mac 2014

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini