comscore
Tumpuan :
Nasional

Kerajaan Sabah beri penjelasan situasi semasa bekalan air

Timbalan Ketua Menteri III Sabah, Datuk Ir Shahelmey Yahya

Oleh: Safwan Sawi

KOTA KINABALU: Susulan tular perhimpunan besar-besaran yang bakal diadakan menerusi pautan tanda pagar #KamiMahuAir, kerajaan negeri Sabah tampil memberi penjelasan berhubung situasi semasa bekalan air di negeri itu, khususnya di sekitar bandar raya Kota Kinabalu.

Timbalan Ketua Menteri III Sabah , Datuk Ir Shahelmey Yahya berkata ketika ini inisiatif untuk menstabilkan sepenuhnya bekalan air di kawasan Kota Kinabalu sedang giat dilaksanakan dan secara keseluruhan ia berjaya distabilkan sejak suku ketiga 2023.

Namun Shahelmey yang juga Menteri Kerja Raya Sabah berkata gangguan bekalan air kadangkala tidak dapat dielakkan disebabkan kerja penyelenggaraan di Loji Rawatan Air (LRA) dan sistem agihan sama ada berjadual atau kecemasan.

“Pada masa yang sama, Jabatan Air Negeri Sabah (JANS) turut berdepan dengan gangguan bekalan air akibat penyambungan paip secara haram oleh penduduk setinggan yang ada kalanya mengakibatkan gangguan bekalan air ke Universiti Malaysia Sabah (UMS) dan sekitarnya.

“Walau bagaimanapun, masalah ini telah dan akan terus ditangani khususnya melalui tindakan penguatkuasaan. Sebagai tindakan serta merta, JANS akan memperkenalkan sistem vendor dalam tempoh terdekat bagi membekalkan air kepada penduduk setinggan selaras dengan keputusan Jemaah Menteri Negeri baru-baru ini.

“Inisiatif ini akan membolehkan kawalan dan pemantauan ke atas penggunaan air oleh penduduk di kawasan-kawasan berkenaan,” katanya dalam satu kenyataan, di sini, hari ini.

Kenyataan terbabit menyusul berikutan penganjuran satu kempen yang dipanggil Perhimpunan #KamiMahuAir Sabah pada 14 Jun ini di hadapan Pusat Pentadbiran Negeri Sabah(PPNS) atau Menara Kinabalu, di sini, yang dilancarkan melalui laman media sosial Suara Mahasiswa, baru-baru ini.

Shahelmey berkata, inisiatif menstabilkan bekalan air di kawasan Kota kinabalu juga termasuk penambahan kapasiti bekalan air dari Loji Rawatan Air (LRA) Telibong 2 Fasa 2 sebanyak 15 hingga 20 juta liter sehari (MLD).

“Ini telah memberi impak signifikan kepada bekalan air di kawasan utara Kota Kinabalu. LRA yang telahpun disiapkan ini berkapasiti 80 MLD dan akan membekalkan sepenuhnya kapasiti berkenaan di kawasan Kota Kinabalu sebaik sahaja jajaran paip di sepanjang Lebuhraya Pan Borneo Pakej Kerja 8 disiapkan awal tahun depan,” katanya.

Jelasnya, pada masa yang sama, Kementerian Kerja Raya Sabah bersama Kementerian Peralihan Tenaga dan Transformasi Air serta Kementerian Ekonomi sedang dalam proses akhir memuktamadkan kaedah pelaksanaan projek untuk sistem bekalan air Sabah di bawah pakej peruntukan RM300 juta yang dijangka dimulakan pada tahun ini.

Skop di bawah projek itu jelasnya adalah bagi mengurangkan gangguan bekalan, menstabilkan tekanan air, menyelesaikan masalah sambungan tidak mengikut peraturan, menaik taraf dan membaiki aset pam serta penambahan kapasiti loji rawatan air di Kota Kinabalu.

Skop projek berkenaan turut melibatkan daerah Papar, Keningau, Lahad Datu dan Tawau.

 

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini