comscore
Tumpuan :
Nasional

Kerajaan Sabah tampung kos tambahan urus jenazah Awang Askandar

Oleh Wan Zairul Azri Wan Mohammad Sudin

PUTRAJAYA: Kerajaan Negeri Sabah akan membantu menampung kos tambahan yang diperlukan di luar tanggungan insurans bagi pengurusan jenazah Allahyarham Leftenan Kolonel (PA) Awang Askandar Ampuan Yaacub yang terkorban dalam ekspedisi pendakian Gunung Everest pada Jumaat lalu.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Sabah, Sarawak dan Tugas-Tugas Khas), Datuk Armizan Ali berkata, komitmen itu diberikan Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor untuk memastikan jenazah Pengarah Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Kedah itu dapat dikebumikan di kampung halaman di Papar, Sabah sebagaimana hasrat ahli keluarga.

“Begitu juga Parti Gabungan Rakyat Sabah (GRS) telah menyalurkan sumbangan untuk tujuan menambah tanggungan kos pengurusan.

“Pada masa yang sama, mana-mana pihak yang berhasrat untuk menyalurkan sumbangan boleh berbuat demikian melalui Yayasan Kebajikan Sabah (YKS). Keprihatinan Ketua Menteri dan Kerajaan Negeri Sabah amatlah dihargai,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Mengulas lanjut, Armizan berkata, sebagai menteri yang bertanggungjawab kepada APM dan Ahli Parlimen Papar, beliau telah mengadakan sidang video bersama Setiausaha Bahagian Konsulat Kementerian Luar, Datuk Mohammad Ali Selamat serta Kaunselor/Kuasa Usaha Kedutaan Malaysia di Kathmandu, Mohd Fadzle Abu Hasan.

Pengarah APM Kedah, Lt. Kol. (PA) Awang Askandar Ampuan Yaacub, 56, meninggal dunia ketika misi pendakian Gunung Everest, Himalaya. -FOTO: Facebook

Jelasnya, perbincangan berkisar perkembangan terkini pengurusan membawa balik jenazah Awang Askandar yang berasal dari Kampung Benoni, Papar dan perkembangan perbincangan itu kemudiannya dimaklumkan kepada Hajiji.

“Terkini saya dimaklumkan bahawa pasukan sherpa dijangka membawa turun jenazah dari Kem 4 ke Base Camp pada jam 2 petang (waktu tempatan) hari ini. Pihak kedutaan juga memaklumkan bahawa jenazah Awang Askandar dijangka dibawa turun dari Base Camp ke Kathmandu pada keesokan hari apabila keadaan cuaca mengizinkan,” katanya.

Awang Askandar meninggal dunia Jumaat lalu dalam Misi Malaysia Everest 2023 (ME 2023) yang dianjurkan Kelab Eksplorasi Altitud bermula 2 April hingga 2 Jun ini.

Seorang lagi peserta, Muhammad Hawari Hashim dilaporkan hilang di kawasan pergunungan Everest ketika turun dari Kem 4 selepas menawan puncak gunung tertinggi di dunia itu.

Proses mencari dan menyelamat (SAR) Muhammad Hawari sedang giat dijalankan oleh pihak berkuasa tempatan.

Loading...
Terkini