KUALA LUMPUR: Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) sudah menyalurkan peruntukan bantuan bencana berjumlah RM232 juta kepada semua negeri sebagai persiapan menghadapi bencana di seluruh negara tahun ini.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, dana itu bagi tujuan diagihkan kepada ketua isi rumah (KIR) mangsa bencana terjejas, yang memenuhi syarat kelayakan ditetapkan.
Beliau berkata, NADMA bersedia untuk menyalurkan peruntukan tambahan sekiranya diperlukan mengikut permohonan negeri berdasarkan jumlah sebenar KIR yang terjejas akibat bencana.
“Semua perancangan ini akan diperhalusi dari semasa ke semasa oleh kerajaan. Selaras dengan matlamat pengurusan bencana adalah tanggungjawab bersama Antara Kerajaan Persekutuan, kerajaan negeri, pihak berkuasa tempatan (PBT), komuniti dan NGO.
“Pelbagai pihak yang lain hendaklah berganding bahu bagi memastikan pelaksanaannya kelak adalah menyeluruh,” katanya dalam jawapan bertulis menjawab soalan Datuk Siti Zailah Mohd Yusoff (PN-Rantau Panjang) di Parlimen.
Beliau berkata, bagi memastikan tindakan seberapa segera diambil apabila berlakunya sebarang kejadian bencana termasuk banjir besar, Mesyuarat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Pusat (JPBP) pada 3 Oktober lalu sudah mengarahkan supaya JPBD diaktifkan dan peranannya di semua lokasi bencana diperkasakan.
“Di samping itu, semua JPBN dan JPBD juga diarahkan bersedia lebih awal untuk memastikan bantuan bekalan sampai ke lokasi yang terlibat bagi mengelakkan keadaan lebih sukar sekiranya jalan terputus dan sebagainya.
“Bagi memastikan pengarahan turun dengan lebih cepat ke lapangan, satu High Level Committee (HLC) telah dibentuk semenjak MTL 2023/2024 bagi memperincikan gerak kerja tindak balas bencana yang lebih terselaras,” katanya.
Sementara itu, seramai 82,794 pegawai dan anggota pelbagai cabang agensi kerajaan di semua peringkat berada dalam keadaan bersiap siaga sepenuhnya dengan sokongan 37,127 unit pelbagai aset.
Katanya, ini melibatkan 2,031 unit bot penyelamat; 1,399 unit jentera kenderaan 4×4; 1,646 unit jentera kenderaan berat; 31 unit helikopter; 30,260 unit jaket keselamatan pelbagai saiz untuk kegunaan mangsa; dan 1,760 unit jambatan panel keluli bermodular.
“Bagi memastikan keselesaan dan kebajikan mangsa banjir, Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) sudah bersedia untuk mengaktifkan 8,481 Pusat Pemindahan Sementara (PPS) di seluruh negara yang mempunyai kapasiti untuk menempatkan 2,158,743 mangsa di seluruh negara,” katanya.
Tahun lalu, beberapa isu dikesan berlaku membabitkan KIR yang terjejas termasuk kelewatan mendapatkan bantuan bencana banjir, yang diagihkan pihak PBT.
Jabatan Meteorologi Malaysia (METMalaysia) sebelum ini memaklumkan, Monsun Timur Laut (MTL) dijangka bermula pada November depan dan berterusan sehingga Mac 2025, dengan ramalan empat hingga enam episod hujan lebat berterusan sepanjang tempoh itu.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.