comscore
Tumpuan :
Nasional

Kerajaan sasar 40% lepasan SPM masuk TVET

Oleh: Juliana Sharin

BANTING: Kerajaan mensasarkan sekurang-kurangnya 40% pelajar lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2023 dapat diserap masuk bidang Pendidikan Teknikal dan Latihan Vokasional (TVET) bagi pengambilan pertama bulan Julai depan.

Malah TVET juga kata Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi boleh menjadi peluang kedua buat lebih 10,000 calon SPM yang tidak hadir menduduki peperiksaan itu.

“Kita tawarkan asalkan mereka mempunyai kemahiran 3M membaca, menulis dan mengira. Saya fikir semuanya mempunyai kemahiran itu minimum dan kita tawarkan melalui kursus TVET ini agar masa depan mereka terjamin,” katanya selepas melakukan tinjauan bersempena Sambutan Hari TVET Negara 2024 di Institut Latihan Perindustrian Kuala Langat, Banting.

Beliau yang juga Pengerusi Jawatankuasa Majlis TVET Negara berkata, peluang juga terbuka kepada pekerja e-hailing dan p-hailing.

“Disana terdapat kira-kira 1.16 juta yang terlibat dalam industri ini dan kita menawarkan peningkatan dan pembaharuan kemahiran kepada mereka agar selepas umur tertentu apabila produktiviti menurun mereka boleh masuk kursus-kursus TVET ini untuk masa depan,” jelasnya.

Dalam masa sama beliau turut menggalakkan pelajar cemerlang SPM untuk menyertai TVET.

“Kita dapati ianya akan memendekkan tempoh kursus, umpamanya pelajar cemerlang di dalam akedemik, terdapat kira-kira 11,173 yang mendapat semua A dan mereka boleh memilih TVET juga kerana peluang untuk memasuki kolej TVET dan Universiti TVET juga ada. Kini terdapat 5 buah universiti TVET di negara ini” tambahnya.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dijangka menghadiri Sambutan Hari TVET Negara 2024 esok.

Terdapat 48 pempamer menawarkan lebih 4,000 kursus, manakala 1,345 institusi TVET swasta dan kerajaan menyediakan lebih 5,000 peluang pekerjaan.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini