comscore
Tumpuan :
Nasional

Kerajaan secara dasar setuju cadangan mekanisme subsidi petrol bersasar

Foto hiasan / NSTP

Oleh: Wan Zairul Azri Wan Mohammad Sudin

PUTRAJAYA: Kerajaan secara dasar bersetuju cadangan mekanisme pelaksanaan subsidi bersasar minyak petrol RON95 yang bakal dilaksanakan mulai tahun hadapan.

Pemangku Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Datuk Armizan Mohd Ali bagaimanapun berkata, mekanisme secara menyeluruh pelaksanaan subsidi itu akan dibentangkan terlebih dahulu dalam Mesyuarat Jemaah Menteri.

“Perbincangan tentang pelaksanaan dan mekanisme RON95 ini merentasi kementerian yang utama iaitu Kementerian Ekonomi. Namun ada satu jawatankuasa khusus yang melibatkan semua kementerian termasuk Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN).

“Kementerian Ekonomi dalam mesyuarat Jemaah Menteri juga akan membawa pandangan daripada pelbagai kementerian termasuklah daripada KPDN,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas menghadiri Majlis Perasmian Simposium Kos Sara Hidup (SCOL) 2023, di sini hari ini.

Tambahnya, susulan keputusan itu, mesyuarat Jemaah Menteri akan membuat pertimbangan dan kelulusan berhubung mekanisme berkenaan.

Semalam, Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli dilaporkan berkata, kerajaan akan melaksanakan program subsidi bersasar RON95 pada separuh kedua 2024.

Pada awal November, Rafizi memaklumkan, tiga cadangan kaedah penyasaran semula subsidi petrol dan diesel akan dibentangkan dalam Mesyuarat Jemaah Menteri bulan ini.

Kaedah itu adalah pemberian subsidi secara bersasar mengikut kelayakan pendapatan belanja bersih secara individu melalui pendekatan perlindungan sosial serta pemberian subsidi secara bersasar mengikut kelayakan boleh belanja bersih isi rumah dan melalui pendekatan hibrid, gabungan perlindungan sosial dan bantuan sosial.

Kaedah lain meliputi pemberian subsidi secara bersasar mengikut kelayakan pendapatan boleh belanja bersih secara isi rumah dan individu tetapi dilaksanakan menggunakan kaedah kad subsidi.

| ARTIKEL BERKAITAN 

Loading...
Terkini