comscore
Tumpuan :
Nasional

Kerajaan sedang tangani isu harga makanan mahal di Langkawi

Foto hiasan

Oleh: Wan Zairul Azri Wan Mohammad Sudin

PUTRAJAYA: Kerajaan sedang menangani isu harga makanan di Langkawi, Kedah yang dikatakan mahal berbanding di Phuket, Thailand.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, perkara berkenaan disentuh rakan sejawatannya dari Thailand, Srettha Thavisin yang membandingkan harga makanan di dua pulau peranginan itu ketika pertemuan kedua-dua pemimpin tersebut sebelum ini.

“Dalam perbincangan saya dengan pimpinan Thailand,(Srettha Thavisin) menarik dia bandingkan Phuket dengan Langkawi. Dia tanya saya, dia tahu dan ambil fakta (yang) beras, tepung, gula, minyak mentah, minyak (masak) kita lebih murah tetapi harga di Phuket lebih murah dan di Langkawi lebih mahal.

“Jadi dia tanya saya apa rasionalnya (harga mahal), jadi saya jawab mungkin sewanya ataupun keuntungan oleh syarikat. Tapi masalah-masalah ini akan kita tangani dengan baik,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Majlis Perhimpunan Bulanan Bersama Warga Jabatan Perdana Menteri (JPM), di sini hari ini.

Anwar ketika pertemuan dengan Srettha di Phuket pada 26 Disember tahun lalu dilaporkan berkata, Thailand bersedia untuk mempromosikan secara bersama pelancongan di Phuket serta Langkawi dan kawasan lain di utara Semenanjung Malaysia.

Dalam pertemuan tersebut, mereka juga sempat menyentuh beberapa perkara penting termasuk soal pelancongan Malaysia-Thailand, susulan peningkatan mendadak pelancong Malaysia ke negara jiran itu.

Sebelum ini, beberapa pelancong tempatan dilapor tidak berpuas hati dan mendakwa menjadi mangsa ‘cekik darah’ apabila perlu membayar harga makanan yang tidak masuk akal di Langkawi, selain dakwaan terdapat peniaga yang mengambil kesempatan menaikkan harga barangan dan perkhidmatan.

Justeru, ada dalam kalangan rakyat negara ini memilih untuk melancong di Thailand kerana kos percutian yang lebih rendah berbanding kos percutian dalam negara.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini