ALOR GAJAH: Kerajaan sedia membincangkan cadangan mengeluarkan peta baharu bagi memperjelaskan sempadan maritim yang menjadi kawasan kedaulatan negara di Laut China Selatan, kata Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof.
“Ini sebenarnya adalah di bawah kuasa Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam (NRES) tetapi apa pun saya kira kalau itu pandangan, kita akan bawa dan bincangkan dan kalau belum, memang perlu dilaksanakan.
“Kita perlu sentiasa kemas kini sempadan kita sebab ini merupakan kedaulatan negara kita,” katanya yang juga Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air.
Beliau berkata demikian selepas menyempurnakan Majlis Serahan Projek Siap kepada Kerajaan Melaka di Dewan Bougainvilla, Majlis Perbandaran Alor Gajah (MPAG) di sini, hari ini.
Fadillah menyerahkan projek itu kepada Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh.
Terdahulu, kerajaan disaran mengeluarkan peta baharu memperjelaskan sempadan maritim yang menjadi kawasan kedaulatan negara di Laut China Selatan.
Ini kerana kali terakhir peta maritim Malaysia dikeluarkan adalah pada 1979, sedangkan sejak itu hingga kini, sudah banyak perubahan pada persempadanan dan tuntutan maritim yang berlaku.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.