comscore
Tumpuan :
Nasional

Kerajaan sedia perbaiki kelemahan pelaksanaan penyasaran subsidi diesel – PM

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, menyertai penduduk bergotong-royong memasak gulai daging pada program Korban Perdana bersama Perdana Menteri di Masjid Jamek Cerok To’kun Bawah, Bukit Mertajam. – FOTO: NSTP

BUKIT MERTAJAM: Kerajaan sedia memperbaiki kelemahan yang dikenal pasti dalam pelaksanaan penyasaran subsidi diesel.

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, apa yang dilakukan ketika ini adalah percubaan awal dan semestinya berdepan beberapa kekurangan.

Beliau menegaskan, penyasaran subsidi diesel adalah langkah wajar dalam menangani isu salah guna dan kecuriannya hingga menyebabkan kerugian besar buat negara.

Katanya, langkah itu penting bagi mengelak ketirisan dana negara walaupun menyedari banyak pihak tidak dapat menerima kenaikan bahan api.

“Kita baca liputan media, ramai tidak dapat menerima kenaikan harga diesel, maka kita nampak perlanggaran dari segi peraturan diesel.

“Subsidi ini untuk orang miskin, petani, nelayan dan pekebun kecil atau pihak pengendali bas sekolah dan pengangkutan awam tetapi terlalu nyata orang yang mencerca kita,

“Saya tidak nafikan tetapi untuk mencerca seolah-olah zalim menekan rakyat, tadi saya tanya jawatankuasa masjid, belia siapa terkesan dengan kenaikan harga diesel, depa (mereka) kata tiada.

“Saya ambil sikap kalau ada masalah tolong beritahu kerana penyasaran subsidi soal besar dan wajar kita teruskan,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Program Korban Perdana di Masjid Jamek Cherok Tokun, di sini, hari ini.

Terdahulu ketika berucap, Anwar berkata, penyasaran subsidi dilakukan kerana ia dinikmati 3.8 juta warga asing sedangkan yang membayar cukai adalah rakyat.

“Subsidi kita bayar, cukai rakyat Malaysia bayar tetapi subsidi diesel warga asing dapat. Perniagaan haram guna diesel kita.

“Dua hari lalu, semua bas pelancongan dan syarikat pelancongan dari Singapura nak naik harga sebab tak dapat subsidi.

“Maknanya selama berpuluh tahun subsidi kita pergi ke syarikat Singapura dan ada yang pergi ke kapal nelayan Thailand, diesel dicuri di sana sini, bocor pun banyak.

“Bagi penanaman padi, traktor kita akan bagi tetapi kita tidak boleh bagi dekat orang kaya,” katanya.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini