comscore
Tumpuan :
Nasional

Kerajaan sedia pinda perlembagaan elak konflik berterusan antara mahkamah sivil, syariah

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar. 

KUALA LUMPUR: Kerajaan sedia melakukan pindaan segera terhadap beberapa peruntukan dalam Perlembagaan Persekutuan bagi mengelak konflik berterusan antara bidang kuasa di Mahkamah Sivil dan Mahkamah Syariah.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar berkata setiap syor perlu mendapat perkenan Majlis Raja-Raja sebelum di bawa ke kabinet.

“Apa yang penting, kita yakin dengan adanya konflik di antara mahkamah sivil dan mahkamah syariah, pertikaian ini akan terus berlaku dan ia perlu diselesaikan dengan seberapa segera,” katanya menjawab soalan tambahan Mohd Sany Hamzan (PH-Hulu Langat) pada sesi soal jawab lisan di Dewan Rakyat hari ini.

Ketika menjawab soalan asal Datuk Ahmad Saad @ Yahaya (Pokok Sena), Mohd Na’im berkata disebalik tugas asalnya, Jawatankuasa Khas Mengkaji Isu Berkaitan Dengan Kompetensi Dewan Undangan Negeri (DUN) Untuk Menggubal Undang-Undang Islam turut melaksanakan kajian mengenai isu konflik bidang kuasa antara mahkamah syariah dengan mahkamah sivil secara menyeluruh.

 

Beliau percaya jawatankuasa ini dapat membantu untuk mencari jalan penyelesaian yang terbaik dan harmoni bagi menyelesaikan isu-isu yang berbangkit berhubung dengan kompetensi DUN untuk menggubal undang-undang Islam serta bidang kuasa mahkamah syariah sebagaimana yang diperuntukkan dalam Perlembagaan Persekutuan.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini