comscore
Tumpuan :
Nasional

Kerajaan Selangor dan MAIS rancang tubuhkan sistem semakan pendanaan awam

Exco Hal Ehwal Agama Islam Selangor, Mohammad Fahmi Ngah. FOTO: Exco Agama Islam Selangor

Oleh: Fahmi Tajuddin

PETALING JAYA: Kerajaan negeri Selangor akan berbincang bersama Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) berhubung sistem semakan kutipan derma awam yang melibatkan hal ehwal dan kebajikan agama Islam.

Ia susulan tindakan syarikat Global Ikhwan Services and Business Holdings (GISBH) yang didakwa mengutip sumbangan orang awam untuk kepentingan syarikat.

Exco Hal Ehwal Agama Islam dan Pembudayaan Inovasi Negeri Selangor, Mohammad Fahmi Ngah berkata langkah itu bertujuan membolehkan orang awam untuk memeriksa keabsahan kutipan sumbangan daripada mana-mana pihak.

“Berikutan tindakan GISBH yang memungut wang atau sumbangan daripada umat Islam untuk kepentingannya dan kumpulannya menerusi rumah-rumah amal mereka, Kerajaan Negeri akan berbincang dengan MAIS untuk mewujudkan satu mekanisme yang mudah dan cepat bagi membolehkan orang awam menyemak kebenaran memungut wang atau sumbangan bagi menyokong dan memajukan agama Islam.

“Ini akan memastikan sumbangan umat Islam yang berniat baik dan ikhlas tidak disalahgunakan oleh mana-mana pihak yang ingin mengambil kesempatan atas dasar simpati dan agama,” katanya dalam satu kenyataan.

Selain itu, Mohd Fahmi juga memuji tindakan cekap Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) menerusi satu jawatankuasa khas yang telah dibentuk bertujuan mengambil tindakan khusus dalam tangkapan melibatkan ahli-ahli GISBH.

Katanya jawatankuasa itu terdiri daripada lapan orang pegawai penyiasat khas untuk
meneruskan siasatan melibatkan individu berprofil tinggi dalam GISBH sekali gus membolehkan JAIS untuk mengemukakan kes ke Jabatan Pendakwaan Syariah Selangor.

“Sehingga petang ini (Rabu), lebih 100 Orang Yang Disyaki (OYDS) telah ditangkap oleh JAIS untuk disiasat dan dirakam percakapan,” katanya.

Beliau yang juga Anggota MAIS turut menggesa orang ramai untuk menjadi mata dan telinga kepada MAIS dan JAIS dalam mengesan serta melaporkan pergerakan awal, mengekang dan membenteras apa juga bentuk penyelewengan akidah yang berlaku di negeri itu.

Loading...
Terkini