comscore
Tumpuan :
Nasional

Kerajaan serius laksana usaha transformasi masyarakat India

Pengerusi Jawatankuasa Pasukan Petugas Khas Unit Transformasi Masyarakat India (MITRA), P Prabakaran. – Foto Fail NSTP

PUTRAJAYA: Sebanyak RM30 juta yang diperuntukkan bagi Program Khas Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) Masyarakat India (MISI) KESUMA-MITRA membuktikan Kerajaan Perpaduan tidak pernah mengabaikan masyarakat India.

Pengerusi Jawatankuasa Pasukan Petugas Khas Unit Transformasi Masyarakat India (MITRA), P Prabakaran, berkata MISI KESUMA-MITRA adalah kerjasama antara MITRA dan Kementerian Sumber Manusia (KESUMA) ke arah transformasi tenaga kerja mahir.

“Jumlah RM30 juta diletakkan di bawah KESUMA untuk mengadakan program MISI dengan KESUMA menyumbangkan RM10 juta, MITRA (RM10 juta) dan Perdana Menteri (Datuk Seri Anwar Ibrahim) umum (semalam) bahawa Kementerian Kewangan sumbang RM10 juta,” katanya yang juga Ahli Parlimen Batu.

Beliau berkata demikian kepada media selepas perasmian Pejabat Pakatan Harapan (PH) yang disempurnakan Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil, malam tadi.

Prabakaran berkata, pengumuman Perdana Menteri itu membuktikan Kerajaan Perpaduan memberi tumpuan kepada masalah serta usaha mentransformasikan masyarakat India.

Sementara itu, Menteri Sumber Manusia Steven Sim berkata MISI menekankan latihan dalam bidang kritikal yang memenuhi kehendak industri dan keperluan negara.

Beliau berkata, program diterajui KESUMA menerusi Pembangunan Sumber Manusia (HRD Corp) dengan kerjasama Kementerian Kewangan dan MITRA itu bertujuan meningkatkan kemahiran bagi belia komuniti India.

“Inisiatif ini selaras dengan aspirasi 3K KESUMA yang bertujuan meningkatkan kemahiran, keberhasilan dan kebajikan pekerja,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Beliau berkata, maklumat lanjut mengenai program latihan di bawah MISI akan diumumkan tidak lama lagi. – BERNAMA

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini