comscore
Tumpuan :
Nasional

Kerajaan Setuju Naikkan Subsidi Telur Ayam Kepada 8 Sen

KUALA LUMPUR: Mesyuarat Kabinet hari ini bersetuju menaikkan subsidi bagi telur ayam gred A, B dan C daripada tiga sen ketika ini kepada lapan sen.

Keputusan itu bermakna kerajaan perlu menanggung pertambahan subsidi telur ayam kepada lebih RM90 juta setiap bulan.

Pengerusi Pasukan Khas Jihad Tangani Inflasi, Tan Sri Annuar Musa, berkata jemaah Kabinet juga bersetuju tidak menaikkan atau mengapung harga telur ayam di pasaran bagi mengelak peningkatan kos sara hidup rakyat.

Katanya, kedua-dua keputusan itu dibuat selepas mengambil kira keperluan rakyat dan beban peningkatan kos pengeluaran telur ayam yang ditanggung pengeluar serta pengedar.

“Alhamdulillah, Kabinet bersetuju supaya harga kawalan telur gred A,B,C tidak dinaikkan atau diapungkan demi menjaga keperluan rakyat.

“Bagaimanapun, Kabinet mengambil kira kos pengeluaran yang meningkat dan harga kawalan menyebabkan pengeluar kerugian serta terpaksa mengurangkan pengeluaran, sekali gus menyebabkan bekalan berkurangan.

“Bagi mengatasi masalah ini, Kabinet bersetuju menerima syor Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI), Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) serta Jawatankuasa Jihad Inflasi.

“Syor itu supaya subsidi (telur ayam) sebanyak tiga sen pada masa ini dinaikkan kepada lapan sen. Ini membabitkan tanggungan subsidi oleh kerajaan lebih daripada RM90 juta sebulan,” katanya dalam satu hantaran di Facebook, hari ini.

Loading...
Terkini