KUALA LUMPUR: Kerajaan akan memberi kerjasama penuh sekiranya usaha pencarian pesawat Malaysia Airlines, penerbangan MH370 membuahkan hasil.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, kerajaan perlu mengimbangi keperluan mencari pesawat berkenaan tetapi pada masa sama, harus memastikan penggunaan dana rakyat dilakukan dengan berhemah.
“Selepas lebih sedekad pesawat itu hilang dari radar, masih banyak persoalan dan misteri belum terungkai.
“Bukan sahaja keluarga dan waris, malah rakyat juga berhak untuk mendapatkan jawapan kepada segala persoalan.
“Justeru, kerajaan akan memberikan kerjasama sepenuhnya jika pencarian berjaya membuahkan hasil yang dinanti-nantikan selama ini,” katanya dalam hantaran di Facebook, hari ini.
Jumaat lalu, Menteri Pengangkutan, Anthony Loke, dilaporkan berkata, Jemaah Menteri pada 13 Disember lalu secara prinsip menerima tawaran syarikat robotik marin Ocean Infinity untuk meneruskan operasi pencarian bangkai pesawat MH370.
Beliau berkata, operasi pencarian di dasar laut akan tertumpu di satu lokasi baharu dianggar berkeluasan 15,000 kilometer persegi di selatan Lautan Hindi.
Ia berdasarkan prinsip ‘no find, no fee’, iaitu kerajaan tidak perlu mengeluarkan bayaran sekiranya bangkai pesawat itu tidak ditemukan.
Pesawat Malaysia Airlines MH370 yang membawa 239 penumpang, hilang ketika dalam penerbangan dari Kuala Lumpur ke Beijing, China pada 8 Mac 2014.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.