comscore
Tumpuan :
Nasional

Kerajaan stabil diperlukan tangani masalah krisis ekonomi

Prof Dr Mohd Azizuddin Mohd Sani

Oleh: Zulfakhri Shamsul Ariffin

PETALING JAYA: Pilihan Raya Umum (PRU) ke-15 disifatkan pencarian sebuah kerajaan stabil, mampu bersaing dan berupaya mengemudi rakyat mengharungi kemelut ekonomi global yang dijangka amat mencabar tahun depan.

Kos inflasi tinggi dan beban hutang negara membangun yang bertambah hanya secebis masalah yang dijangka memberi kesan kepada Malaysia dan negara lain.

Justeru pelbagai pihak mahukan Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) merintis jalan kepada pembentukan sebuah kerajaan kukuh, berwibawa dan berkebolehan.

Penganalisis politik dari Universiti Utara Malaysia (UUM), Prof Dr Mohd Azizuddin Mohd Sani berkata penetapan tarikh PRU kali ini merupakan satu langkah terbaik.

“Pelaksanaan PRU pada 19 November ini adalah yang terbaik berbanding diadakan pada tahun hadapan kerana kita sedang menghadapai masalah ketidakstabilan politik dalam Malaysia.

“Ketidakstabilan politik dalam kerajaan campuran ini perlu diselesaikan dengan segera sebelum berlakunya kemelesetan ekonomi tahun hadapan. Jadi langkah mengadakan pilihan raya pada tahun ini adalah sangat baik,” katanya kepada Buletin Tv3.

Prof Dr Sivamurugan Pandian

Rakan beliau, penganalisis politik dari Universiti Sains Malaysia, Prof Dr Sivamurugan Pandian berkata PRU-15 harus menjurus kepada pemilihan parti yang boleh membentuk kerajaan stabil demi memastikan pengukuhan semula ekonomi negara dan membela rakyat segenap lapisan.

“Kerajaan yang bakal dibentuk selepas ini perlulah sebuah kerajaan yang akan memastikan soal kesejahteraan dapat di atasi dengan baik.

“Tidak ada jurang dalam soal persempadanan negeri, tidak ada jurang dalam soal kelas dan tidak ada jurang-jurang lain yang akan merencatkan proses perubahan pembaharuan yang mahu dilihat dalam konteks kita meningkatkan pengstrukturan dan penginstitusian ke atas masyarat negara ini,” katanya.

Bulan lalu, Bank Dunia memberi amaran, ekonomi global dalam keadaan ‘bahaya’ menghampiri kemelesetan selepas data inflasi menunjukkan peningkatan manakala kadar faedah terus meningkat dan bebanan hutang terus melonjak di negara sedang membangun.

Presiden Bank Dunia, David Malpass

Presiden Bank Dunia, David Malpass berkata, kelembapan ekonomi dunia benar-benar menjejaskan negara sedang membangun, terutamanya golongan miskin di negara terbabit, sekali gus memberikan impak yang negatif.

Bank Dunia menurunkan unjuran pertumbuhan ekonomi global tahun hadapan daripada 3.0 peratus kepada 1.9 peratus iaitu menghampiri paras kemelesetan global.

Ia adalah penurunan 1.1 peratus lagi berbanding unjuran yang dibuat sebelum ini.

Malaysia sebuah negara kecil yang mempunyai ekonomi terbuka dan bergantung kepada perdagangan antarabangsa.

Justeru Malaysia sudah tentu menerima tempias daripada persekitaran ekonomi global yang suram, khususnya apabila mengambil kira faktor geopolitik seperti perang di Ukraine dan hubungan dingin Amerika Syarikat dengan China yang terus berlarutan.

Dalam keadaan sedemikian, Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengutamakan keperluan memulihkan kestabilan politik demi memastikan rakyat mempunyai sebuah kerajaan kukuh untuk menangani cabaran mendatang.

Perbalahan berterusan parti tertentu dalam kerajaan campuran Datuk Seri Ismail sudah sampai kemuncak dan mengekang perancangan serta pelaksanaan dasar berkesan bagi melindungi rakyat daripada kesan kekusutan ekonomi global.

“Parlimen penggal ke-14 melakarkan warna suram kepada landskap politik negara. Belum pernah terpateri dalam sejarah, berlakunya pertukaran tiga Perdana Menteri dan Kerajaan memerintah bersilih ganti dalam penggal yang sama. Ini memberi dampak memburuk terhadap sosiopolitiko-ekonomi,” katanya dalam ucapan pembubaran parlimen Oktober lalu.

Ismail yang juga Naib Presiden Umno dan antara tonggak Barisan Nasional, memulangkan mandat kepada rakyat untuk memilih sebuah kerajaan stabil pada 19 November ini.

Keputusan itu menepati keperluan negara mempersiapkan diri untuk menongkah badai ekonomi global.

 

Loading...
Terkini