comscore
Tumpuan :
Nasional

Kerajaan tampung RM5 juta subsidi minyak masak botol

Oleh Wan Zairul Azri Wan Mohammad Sudin

SEPANG: Kerajaan menampung subsidi sebanyak RM5 juta untuk memastikan harga runcit maksimum bagi minyak masak sawit tulen kemasan botol lima kilogram (kg) kekal pada RM30.90 untuk tempoh 8 Mei hingga 7 Jun depan.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Datuk Seri Salahuddin Ayub berkata, tindakan sama turut dilakukan kerajaan pada bulan lalu susulan kenaikan harga minyak sawit mentah (CPO).

“Sekali lagi kerajaan tampil (beri subsidi) bagi memastikan bekalan mencukupi dan harga tidak dinaikkan walaupun harga CPO pada April tahun ini mencecah RM4,200 satu metrik tan dan telah melepasi tahap ambang (threshold) kita iaitu RM3,800 yang dah naik dua bulan berturut-turut.

“Bulan lalu kita tampung dengan subsidi. Bulan ini pun kita tampung dengan subsidi bagi memastikan bekalan minyak botol kemasan tidak naik dan rakyat kekal beli pada harga RM30.90,” katanya pada sidang media di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) Terminal 1, hari ini.

Sementara itu, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) dalam satu kenyataan memaklumkan, harga runcit minyak masak sawit tulen dalam botol bagi satu kg hingga tiga kg kekal.

Minyak masak botol bagi satu kg kekal pada harga RM6.90, dua kg (RM13.30) dan tiga kg (RM19.60).

“Bagi mengelakkan bebanan kepada rakyat dan pengguna, kerajaan dan industri bersetuju untuk mengekalkan harga runcit minyak masak sawit tulen dalam botol untuk tempoh 8 Mei hingga 7 Jun 2023 dan perbezaan harga ditanggung oleh kerajaan.

“Pengekalan harga runcit minyak masak sawit dalam botol ini melibatkan pembayaran subsidi kepada pengilang-pengilang penapis secara tuntutan bayaran balik (reimbursement) berdasarkan bilangan tuntutan sebenar,” menurut kenyataan itu.

KPDN berkata, mana-mana pihak yang menjual melebihi harga maksimum boleh diambil tindakan di bawah Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011 serta boleh dikenakan penalti.

Individu yang disabitkan kesalahan boleh didenda oleh mahkamah sehingga RM100,000 atau dipenjarakan tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya, manakala syarikat pula boleh didenda sehingga RM500,000.

Loading...
Terkini