comscore
Tumpuan :
Nasional

Kerajaan tanggung RM9.4 juta subsidi haji jemaah B40

 

SEPANG: Kerajaan akan menanggung kos sebanyak RM9.4 juta selepas bersedia memberi subsidi sebanyak RM1,000 bagi setiap golongan B40 yang bakal menunaikan haji buat pertama kali musim haji 1445H/2024M.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar berkata, susulan daripada itu, jemaah haji Muassasah B40 hanya perlu membayar kos sebanyak RM12,356.

Beliau berkata, bantuan kewangan haji secara bersasar diberikan kepada jemaah Haji Muasassah golongan B40 itu sebagai keprihatinan kerajaan yang sentiasa merasai denyut nadi rakyat.

“Pada tahun ini sebanyak 25 syarikat Pengelola Jemaah Haji (PJH), termasuk Tabung Haji Travel & Services Sdn Bhd (THTS) diberikan lesen untuk mengendalikan haji pada musim haji tahun ini,” katanya pada Majlis Karnival Haji, Umrah & Pelancongan Pengelola Jemaah Haji (Karnival PJH) 1445/2024M hari ini.

TH hari ini mengumumkan kadar bayaran haji untuk seorang bakal haji Muassasah kumpulan B40 yang kali pertama menunaikan ibadah itu ditetapkan pada RM12,356, manakala RM19,152 bagi kumpulan M40.

Pengarah Urusan Kumpulan dan Ketua Pegawai Eksekutif Lembaga Tabung Haji (TH), Syed Hamadah Syed Othman, berkata kos haji bagi seorang bakal haji Muassasah untuk musim haji tahun ini pula meningkat kepada RM33,300 berbanding RM30,850 tahun lalu.

“Tahun ini TH memperuntukkan bantuan kewangan haji sehingga 63 peratus daripada kos haji untuk golongan B40, manakala 42 peratus bagi M40.

“Bagi golongan T20 pula, sebagaimana tahun lalu jemaah dikehendaki membuat bayaran penuh iaitu RM33,300,” katanya.

Loading...
Terkini