comscore
Tumpuan :
Nasional

Kerajaan tegas bantah tuntutan Sultan Sulu

KUALA LUMPUR: Kerajaan dengan tegasnya membantah tuntutan Final Award oleh pihak yang mendakwa waris Sultan Jamalul Kiram II.

Menurut Jabatan Peguam Negara tindakan itu sekaligus mengekalkan pendirian kerajaan untuk tidak mengiktiraf kesemua tindakan yang diambil oleh Dr Gonzalo Stampa dalam prosiding timbang tara serta semua keputusan dan award dikeluarkan beliau.

“Berdasarkan dakwaan palsu yang dibuat pada 31 Mei lalu, Kerajaan Malaysia melalui Peguam Negara sudah menjawab surat peguam bagi pihak yang mendakwa sebagai waris Sultan Jamalul Kiran ll iaitu Paul H Cohen,” kata Jabatan Peguam Negara dalam satu kenyataan hari ini.

Tambah kenyataan itu lagi,  satu laporan polis dibuat pada 1 Jun lalu terhadap Paul H Cohen atas kenyataan dan dakwaan tidak adil yang dibuat terhadap Peguam Negara.

“Tindakan ini membolehkan siasatan yang sewajarnya dijalankan bagi apa-apa kesalahan jenayah yang dibuat di bawah undang-undang Malaysia.”

Menurut kenyataan itu, Kerajaan Malaysia akan terus mengambil semua langkah yang sewajarnya termasuk tindakan perundangan untuk menamatkan segala tuntutan berkenaan bagi memastikan kepentingan, kekebalan kedaulatan dan kedaulatan Malaysia sentiasa dilindungi dan terpelihara.

Pada 29 Mei lalu, Jabatan Peguam Negara menerima surat yang ditujukan kepada Peguam Negara daripada peguam kepada pihak yang mendakwa sebagai waris Sultan Jamalul Kiran ll iaitu Paul H Cohen.

Surat berkenaan antara lain menuntut bayaran segera iaitu sebelum Jumaat lalu (2 Jun) bagi Final Award berjumlah sebanyak USD16.412 bilion termasuk 10 peratus kadar faedah.

Selain itu pihak berkaitan turut menuntut sebanyak USD3,502,394.24 bagi bayaran peguam dan ahli pakar serta USD4,026,592.64 untuk kos timbang tara.

Surat bekenaan mendakwa Kerajaan Malaysia dengan sengaja gagal untuk mematuhi Final Award yang dikatakan itu serta membuat dakwaan yang keterlaluan terhadap Dr Stampa.

Menurut Jabatan Peguam Negara, surat oleh Paul H Cohen itu memberi gambaran yang tidak tepat dan memfitnah Kerajaan Malaysia berhubung tindakan undang-undang yang diambil dalam menangani tuntutan berkenaan.

Tambah kenyataan itu lagi, Kerajaan Malaysia menafikan sepenuhnya semua dakwaan dan sindiran yang dibuat di dalam surat itu.

Ia disifatkan sebagai cubaan mewujudkan rekod bertulis bagi perkara yang tidak benar yang bertujuan untuk digunakan terhadap Malaysia.

“Jabatan ini menyelar dengan tegasnya segala dakwaan yang dibuat dalam surat itu. Dalam hal ini, adalah melampau bagi penuntut untuk membuat tuntutan bayaran bagi Final Award yang dikatakan itu sedangkan prosiding undang-undang masih lagi berlangsung,” katanya.

Loading...
Terkini