comscore
Tumpuan :
Nasional

Kerajaan Terengganu terkilan dakwaan anjing liar mati disebabkan diracun

Bangkai anjing liar disyaki mati akibat diracun terbiar di beberapa kawasan sekitar bandaraya Kuala Terengganu. Foto ihsan PPHTT

KUALA TERENGGANU: Kerajaan Negeri Terengganu tidak pernah mengarahkan mana-mana anjing liar diracun walaupun haiwan itu mengancam keselamatan manusia dan ternakan peliharaan.

Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani, Keterjaminan Makanan dan Komoditi Terengganu, Dr Azman Ibrahim berkata kerajaan negeri akan berusaha menggunakan kaedah tertentu untuk mengawal populasi anjing liar daripada membiak sehingga menjadi tidak terkawal.

Katanya, tindakan meracun anjing liar adalah tidak betul walaupun haiwan itu mengancam keselamatan orang awam dan ternakan peliharaan termasuk kambing dan biri-biri.

“Kita terkilan dengan dakwaan beratus ekor anjing liar mati disebabkan diracun seperti ditularkan melalui Facebook (FB) Persatuan Penyelamat Haiwan Terbiar Terengganu (PPHTT), hari ini.”

“Kerajaan tidak pernah mengarahkan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) meracun untuk melupuskan anjing liar,” katanya.

Foto ihsan PPHTT

Terdahulu, PPHTT melalui FBnya mendakwa satu operasi penghapusan anjing liar di sekitar bandaraya Kuala Terengganu dengan memberi makanan beracun, kemungkinan dicampur dengan racun perosak dilakukan oleh pihak-pihak tertentu.

Mengulas lanjut, Dr Azman yang juga Ahli Dewan Undangan negeri (ADUN) Jabi mengesahkan turut menerima laporan beratus ekor ternakan peliharaan termasuk kambing dan biri-biri mati diserang anjing liar.

Katanya, kerajaan negeri berada dalam dilema berikutan populasi anjing liar tidak bertuan yang mengancam keselamatan orang awam dan ternakan berkeliaran.

“Berdasarkan laporan awal, anjing liar ini diambil individu tertentu bertujuan untuk menjaga kebun tetapi dibiarkan berkeliaran selepas tanaman mengeluarkan hasil.”

“Walaupun kepentingan rakyat diutamakan, tetapi kaedah pelupusan anjing liar secara berperikemanusiaan perlu dilakukan,” katanya.

Dr Azman berkata Jabatan Perkhidmatan Veterinar (JPV) negeri dan PBT sudah diminta melakukan siasatan menyeluruh berhubung dakwaan PPHTT itu.

Sementara itu, beberapa pegawai JPV sudah pun ke lokasi bangkai anjing liar mati untuk melakukan siasatan lanjut.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa

Loading...
Terkini