Tumpuan :
Nasional

Kerajaan terikat dengan pandangan raja-raja dalam isu 3R – PM Anwar

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

KUALA LUMPUR: Kerajaan terikat dengan pandangan Raja-Raja Melayu berhubung isu 3R (agama, kaum dan raja), khususnya dalam mengambil tindakan terhadap pihak yang cuba menganggu ketenteraman awam di negara ini.

Perdana Menteri berkata, biarpun kerajaannya berpendirian isu dan masalah 3R tidak sepatutnya menyekat kebebasan media dan hak bersuara rakyat, namun jika wujud laporan, Polis Diraja Malaysia (PDRM) boleh menyiasat.

“Sementara kita izinkan orang ramai bicara, tapi sidang dalam Raja-Raja Melayu sangat tegas. Kita terikat dengan pandangan raja-raja bahawa mereka tidak mahu dan mengizinkan sebarang kecaman di khalayak tanpa tindakan.

“Kalau dibangkitkan kecaman terhadap saya memang berbakul-bakul, (tapi) tiada tindakan. Tapi kalau ada laporan polis, biar polis uruskan, saya tidak peduli sangat hal sedemikian,” katanya.

Anwar berkata demikian ketika menjawab soalan tambahan Datuk Awang Hashim (PN-Pendang) pada sesi pertanyaan-pertanyaan menteri di Dewan Rakyat hari ini.

Mengulas lanjut, Anwar mengakui wujud keperluan untuk perbaiki persepsi awam terhadap isu 3R, namun kerajaannya berdepan keterbatasan dalam merungkai permasalahan itu.

Pelbagai pihak termasuk pemimpin pembangkang sebelum ini mempertikaikan tindakan pihak berkuasa menyiasat individu, termasuk pemimpin politik yang dikaitkan dengan mengeluarkan kenyataan berbaur 3R.

Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Muhyiddin Yassin sebelum ini didakwa di bawah Seksyen 4(1) Akta Hasutan 1948 berikutan ucapannya ketika Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Nenggiri, yang didakwa mengandungi unsur 3R.

Selain Muhyiddin, Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor juga didakwa di mahkamah atas isu sama, selepas didakwa memperlekeh Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah berhubung pelantikan Datuk Seri Amirudin Shari, sebagai Menteri Besar Selangor.

Selain mereka, PDRM juga menyiasat Presiden PAS, Tan Sri Abdul Hadi Awang, Ahli Parlimen Bagan, Lim Guan Eng serta bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad dalam isu sama.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini