comscore
Tumpuan :
Nasional

Kerajaan terus import telur sehingga bekalan dalam negara stabil

Foto NSTP

ALOR SETAR: Kerajaan akan terus mengimport bekalan telur ayam dari luar negara sehingga keadaan stabil dan krisis bekalan dalam negara dapat diatasi.

Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Mohamad Sabu, berkata proses mengimport sumber protein itu hanya dilakukan mengikut keperluan dan bukan secara berterusan.

Setakat ini katanya, bekalan telur ayam sudah semakin stabil dan dijangka tidak berdepan masalah menjelang Ramadan dan Syawal.

“Bekalan telur sudah stabil dan Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) akan sentiasa memantau serta menghantar bekalan ke kawasan yang menghadapi kekurangan bekalan bahan itu sekiranya ada.

“Bagi menyelesaikan isu berkaitan pengeluaran yang dihadapi syarikat yang terbabit, kerajaan mengambil inisiatif tertentu untuk membantu mereka termasuk memudahkan syarikat terbabit mendapatkan pekerja termasuk pekerja asing.

“Contohnya, mereka mampu keluar setengah juta telur tapi disebabkan tidak cukup pekerja mereka hanya boleh keluarkan 300,000 biji telur. Jadi, kita minta kerajaan untuk mudahkan mereka dapatkan pekerja tempatan dan pekerja asing,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas hadir sesi libat urus bersama peladang Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (MADA) Pengkalan Kundor di sini, hari ini.

Pihaknya turut memberi jaminan bekalan telur serta ayam akan sentiasa ada dalam pasaran cuma harganya akan ditentukan oleh permintaan dan penawaran dalam pasaran dari semasa ke semasa.

Diminta mengulas mengenai cadangan Pengarah Urusan Mydin, Datuk Ameer Ali Mydin untuk memansuhkan Permit Kelulusan (AP) telur ayam, Mohamad berkata, pihaknya bersedia untuk membincangkan perkara itu bersama kementerian berkaitan.

Loading...
Terkini