Tumpuan :
Nasional

Kerajaan teruskan larangan rentas sempadan guna pangkalan haram Sungai Golok

TUMPAT: Kerajaan meneruskan larangan rentas sempadan menggunakan pangkalan haram di sepanjang Sungai Golok bermula Ahad lalu.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail, berkata pihaknya tidak menerima sebarang bantahan berhubung tindakan terbabit.

“Ya, kita akan teruskan dan tidak menerima sebarang bantahan berhubung perkara itu,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas melawat Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tumpat dan menyampaikan sumbangan kepada mangsa banjir di sini, hari ini.

Hadir sama, Ketua Polis Kelantan, Datuk Mohd Yusoff Mamat.

Laporan sebelum ini menyebut, polis akan menahan individu yang menggunakan pangkalan haram di sepanjang Sungai Golok untuk merentasi sempadan Malaysia-Thailand mulai 1 Disember.

Tindakan itu diambil mengikut Seksyen 5(2) Akta Imigresen, yang memperuntukkan denda sehingga RM10,000 bagi yang disabit kesalahan.

Dalam perkembangan lain, ditanya jika polis Thailand meminta bantuan mengesan beberapa suspek warga Malaysia disyaki terbabit dengan sindiket penipuan pelaburan susulan tangkapan dua rakyat Malaysia di Thailand, Saifuddin berkata, belum ada permohonan diterima.

“Setakat ini kita tidak dimaklumkan dan kita akan beri maklum balas sehingga perkara itu berlaku,” katanya.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini