Oleh: Wan Zairul Azri Wan Mohammad Sudin
PUTRAJAYA: Kerajaan tetap dengan pendirian untuk tidak meneruskan pelaksanaan mewajibkan semua penyedia perkhidmatan internet (ISP) di negara ini melakukan penghalaan semula Sistem Nama Domain (DNS).
Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil berkata, beliau sudah meminta Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) meneruskan sesi libat urus dengan semua penyedia perkhidmatan bagi mencari kaedah terbaik menangani isu keselamatan dalam talian.
“Yang penting waktu ini, saya tegaskan bahawa keutamaan (kerajaan) adalah untuk memastikan internet lebih selamat untuk kanak-kanak dan keluarga.
“Kita mengambil kira jenayah yang semakin berhijrah ke dunia siber bukan hanya dalam media sosial, tetapi juga dalam apa kita kenali sebagai world wide web (WWW),” katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang media mingguan pasca mesyuarat Kabinet, di sini hari ini.
Sebelum ini, Ketua Pegawai Keselamatan Rangkaian MCMC, Datuk Dr Mohamed Sulaiman Sultan Suhaibuddeen dilapor berkata, arahan terhadap ISP untuk mengalihkan trafik perkhidmatan DNS yang menggunakan pelayan DNS pihak ketiga kembali ke pelayan DNS mereka sendiri tidak akan menjejaskan, mengganggu atau menyekat pengguna daripada melayari laman web yang sah.
Jelasnya, laman web yang terkesan dengan tindakan itu ialah laman web yang menyalahi undang-undang Malaysia, menyebabkan sekatan dikenakan supaya tidak dapat diakses rakyat Malaysia.
Susulan itu, MCMC diminta tidak meneruskan arahan mewajibkan semua penyedia perkhidmatan Internet di Malaysia melakukan penghalaan semula DNS.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.